Daisypath Friendship tickers
JOM FOLLOW JADI KAWAN. TQVM SUPPORT JENDELA DAPUR SURIANTI

Jom follow dan jadi sahabat. Tinggalkan jejak anda untuk saya follow kembali.

Nak cari resepi apa ya..taip di sini

Friday, December 20, 2013

Jom sarapan red velvet cake yang sedap, yummy...

Akhirnya, setelah lama teringin nak makan red velvet cake...hari ini tercapailah impian...ini versi Sue, versi amatur...tak pandai mendeko. Hehehe...ikut tangan je apa yang jadi...comot je pun letak topping. maklumlah, ini first time mencuba. InsyaAllah akan diperbaiki lagi selepas ini...jom, tak boleh berceloteh panjang sebab nak menikmati kek idaman. Bismillah...



Red Velvet Cake 

Bahan-bahan Kek :
2 cawan tepung blue key (self raising flour) *
2 sudu besar serbuk koko*
1 sudu teh baking powder*
1 sudu teh soda bicarbonat*
(Satukan dan ayak semua bahan * di atas)

1 cawan buttermilk (hasil campuran 3/4 cawan yogurt plain/original + 1/4 cawan susu segar)

3/4 cawan gula kastor
1 sudu besar pewarna merah
1 cawan butter  
1/2 cawan air panas 
2 biji telur 
1 sudu teh esen vanila

Cara penyediaan kek :
1. Pukul gula dan butter hingga kembang. Masukkan telur sebiji demi sebiji sambil dipukul lagi.
3. Masukkan pewarna merah dan esen vanila. Pukul lagi dengan kelajuan sederhana. 
4. Masukkan bahan * tadi berselang seli dengan buttermilk sedikit demi sedikit sambil di putar perlahan hingga semuanya sebati. 
5. Akhir sekali masukkan air panas dan gaul rata.
6. Panaskan ketuhar terlebih dahulu. Griskan loyang dengan butter dan alas dasar loyang dengan kertas minyak, tuang adunan dan bakar 50 minit pada suhu 175'C. (Suhu dan masa bergantung pada jenis ketuhar masing-masing)
Sue gunakan loyang  bulat bersaiz diameter 8inci.
Sejukkan kek sebelum diletakkan topping.

Pilihan topping salah satu sama ada A atau B : 

A. Topping jenis cair sikit, yang dipanggil cheese leleh
Bahan
250g cream cheese 
1/2 cawan whipping cream
1/2 cawan gula icing (kurangkan jika tidak suka manis) 
1 sudu besar jus perahan lemon
~ satukan semuanya dan putar hingga sebati.

B. Cream cheese frosting
Bahan 
500g cream cheese
1/2 cawan butter
1 cawan gula halus
1 sudu teh esen vanilla
~Putar cream cheese bersama butter hingga lembut. Masukkan esen vanilla,putar sebati. Kemudian masukkan gula sedikit demi sedikit sambil diputar perlahan hingga kembang.


Abaikan cara sapuan topping yang comot itu ya...hehehe..


Selamat mencuba !

Wednesday, December 18, 2013

Jom masak paprik yang sedap dan cepat penyediaannya...

Hari yang sibuk + kurang rajin, maka terhasillah paprik campur untuk lunch. All in one, sayur dan lauk. Penyediaannya cepat dan mudah, tak sampai setengah jam dah pun siap. Apa yang paling penting, dimasak dengan penuh kasih sayang, anak-anak dengan hubby pun suka. Alhamdulillah...
Gambar pun snap dari kuali je.



Paprik Campur

Bahan-bahan :
1 keping dada ayam dipotong kecil  Sedikit daging lembu yang dipotong kecil
4 ekor sotong
10 ekor udang
Bunga kobis
Anak jagung
Karrot
1 sudu besar cili kisar
4 sudu besar sos cili thai
4 sudu besar sos tomato
4 sudu besar sos cili
2 batang serai diketuk
1 inci halia diracik
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
Cili merah dipotong
1 biji buah tomato dipotong lapan
2 sudu besar tepung jagung dibancuh dengan 1/4 cawan air
Sedikit air kosong
Garam/gula secukup rasa
4 sudu besar minyak masak
Daun limau

Cara penyediaan :
1. Panaskan minyak, tumiskan bawang putih, serai serta halia, masukkan daging dan sedikit air. Kacau goreng hingga daging empuk.
2. Masukkan isi ayam, kacau hingga masak.
3. Campurkan cili kisar, sos cili thai, sos cili dan sos tomato ke dalam kuali tadi. Masukkan  garam dan gula. Masak hingga mendidih.
4. Masukkan sotong dan udang, masak sekejap saja. Jika perlu, tambahkan sedikit air untuk kuahnya.
5. Masukkan sayur, bawang besar, potongan cili bersama daun limau. Tambahkan bancuhan tepung jagung untuk memekatkan kuahnya. Kacau rata dan akhir sekali masukkan buah tomato. Tutup api, sedia dihidang.

*jika suka lebih pedas, tambahkan cili padi dan cili kisar.

Tuesday, December 17, 2013

Vanilla Cuppies untuk minum petang, sedap...berebut anak-anak makan...

Selamat petang semua, minum petang apa hari ini. Sue buat cupcakes atas permintaan anak-anak. Berebut diorang makan, siap je bakar dah habis. Sedap la tu ya...hehehe...memang sedap pun, texture yang ringan, gebu dan lembut walau pun selepas dah sejuk. Itu hubby yang cakap. Wahhh....semangat nak membaking lagi lepas ni.


Vanilla Cuppies (basic cupcake)

Bahan-bahan :
2 1/2 cawan tepung blue-key (self raising flour) *
1 sudu teh baking powder *
3 biji telur
1 cawan gula castor
3/4 buku butter
1 1/4 cawan susu cair
3 sudu teh esen vanilla

Cara Penyediaan :
1. Satukan dan ayak bahan bertanda *. Ketepikan.
2. Pukul butter bersama gula hingga putih dan kembang. Masukkan telur sebiji demi sebiji sambil dipukul lagi.
3. Masukkan esen vanilla, tepung sedikit demi sedikit berselang seli dengan susu cair hingga habis. Putar sebati.
4. Panaskan oven pada suhu 170'C. 
5. Sudukan adunan ke dalam cup kertas sehingga memenuhi 2/3 cup. Bakar selama 15 - 20 minit.

Selamat mencuba !

Friday, December 13, 2013

Pengat Ubi permintaan hubby untuk minum petang atau pun disebut sebagai serawa kalau di utara....

Waktu cuti sekolah macam sekarang, bolehla masak untuk minum petang. Bila hari bekerja, memang kelam kabut. Sempat masak lauk pauk je. Tunggu weekend kalau nak masak lebih.
Ermm...Sedap juga dah lama tak makan pengat. Kalau di utara disebut serawa. Sama je bendanya. 
Jom kita masak dan makan....



Pengat Ubi

Bahan-bahan :
3 ketul ubi keledek dibuang kulit dan dicuci bersih
1/3 cawan sagu putih dibersihkan
1 1/2 cawan santan pekat
4 cawan air kosong
4  sudu besar gula merah (boleh juga gunakan gula melaka)
2 sudu besar gula putih (boleh ditambah mengikut manis yang anda suka)
Secubit garam kasar
3 helai daun pandan
5 ulas durian

Cara penyediaan :
1. Rebus ubi dan daun pandan bersama air kosong hingga hampir empuk. Jangan biar kering hingga tiada langsung air. Jika air kering, tambahkan.
2. Masukkan sagu dan rebus bersama ubi hingga sagu telah cukup kembang (sekejap saja).
3. Masukkan durian, gula merah, gula pasir, garam dan santan. Kacau sentiasa dalam api perlahan supaya pengat tidak pecah minyak. Suaikan rasanya.
4. Bila pengat mula mendidih sedikit, padamkan api.

Sedia dihidang.
Sesuai dimakan begitu saja dan boleh juga dicicah roti. Sedap !
Selamat mencuba.

Thursday, December 12, 2013

Karipap Sardin untuk sarapan...tips untuk pastri yang sedap dan tidak liat serta kulit tidak menggerutu

Salam Khamis semua, hari ini kebetulan terbangun awal, dapatlah masak nasi goreng dengan karipap sardin. Selalunya satu menu je, kalau hari bukan cuti sekolah, berkejar masa...kadang-kadang sarapan beli kat gerai. Sekarang kebetulan cuti sekolah, sebelum mula menjahit (klik di sini), bolehlah masak dulu...
Dulu-dulu, memang Sue tak tahu buat karipap. Asyik liat je kulitnya...frust sebab tak jadi, maklumlah kahwin waktu belajar di kolej, tak sempat sangat nak berguru dengan mak..tapi, kan ada kemudahan handphone, video call, macam-macam kecanggihan sekarang ni. Telefon mak, tanya cara untuk buat kulit karipap yang sedap dan tidak liat. Inilah hasilnya.
Jom kita lihat resepi...



Karipap Sardin

Bahan kulit karipap :
2 cawan tepung gandum
1/4 cawan mentega (dicairkan)
1/2 cawan air dari peti sejuk
Secubit garam
*penggunaan mentega yang dicairkan dan air dari peti sejuk akan membuatkan kulit karipap lebih sedap dan tidak liat.

Cara penyediaan kulit karipap :
1. Masukkan tepung gandum dan garam ke dalam besen dan buat lubang di tengah-tengahnya.
2. Cairkan mentega di atas api perlahan dan tuang kedalam tepung. Gaul dan ramas mentega cair dengan tepung sehingga menjadi seperti serbuk roti.
3. Tuangkan air sejuk sedikit demi sedikit sambil menguli sehingga tepung tidak melekat pada tangan. Jangan terlalu liat, nanti susah untuk dicanai. (Air  sejuk yg Sue sediakan 1/2 cawan ini, tidak habis digunakan, bakinya ada sedikit lagi)
4. Biarkan adunan sebentar dalam besen bertutup sambil kita menyediakan inti karipap.

Bahan untuk inti karipap:
1 tin sardin (sebarang jenama)
1 labu bawang besar dipotong dadu
2 biji ubi kentang dipotong dadu
2 biji cili merah dihiris nipis
Garam jika perlu (tapi Sue tak letak pun garam dalam inti)
3 sudu besar minyak masak
*jika tidak suka inti sardin, boleh gantikan dengan inti kentang/daging/ayam atau apa-apa kesukaan anda.

Cara penyediaan inti karipap :
1. Asingkan ikan sardin dari kuahnya. Hancurkan isi ikan.
2. Panaskan minyak dan masukkan kentang sambil digoreng sekejap. Bila kentang hampir empuk, masukkan bawang besar dan cili. Kacau sebati.
3. Masukkan isi ikan sardin dan 3 atau 4 sudu kuahnya. Masak sekejap dalam api perlahan dan tutup api. Biarkan sejuk.

Cara penyediaan karipap :
1. Bahagikan doh kepada 4 bahagian.
2. Ambil 1 bahagian dan canai. Terap dengan acuan berbentuk bulat. Boleh juga menggunakan gelas.
3. Masukkan inti ke dalamnya, dan lipat kepada 2 bahagian. Picit sedikit supaya kedua bahagian bercantum. Kelim dari hujung ke hujung. Jika anda rasa sukar untuk proses kelim ini, boleh gunakan acuan karipap yang biasa dijual di kedai barangan plastik.
4. Ulangi proses di atas sehingga habis semua doh yang dibahagikan tadi.
5. Panaskan minyak. Goreng karipap hingga kuning keemasan.

*petua supaya karipap anda tidak menggerutu :
Panaskan minyak, tutup api dan masukkan karipap. Biar sekejap, baru nyalakan semula api perlahan. Goreng seperti biasa hingga masak.



Tuesday, December 10, 2013

Minum petang dengan donut gebu yang sedap....kekal gebu walau pun selepas dah sejuk.

Wah sedapnya tengok donut hasil tangan sahabat fb yang memang terer memasak, Rozilah Abdullah...semangat nak buat ni, kebetulan semua bahan dah ada..terus ke dapur dan mula mendonut. Memang betul kata Rozi, ini resepi terbaik. Sedap sungguh ! Lembut, gebu....memang best makan, setakat 2, 3 biji, rasa nak makan lagi dan lagi. Jom kita semak resepinya yang di copy paste dari sumber asal, Isma Maisarah.



DONUT GEBUS
Sumber : Isma Maisarah

Bahan2

250gm tepung gandum
1 1/2 sudu kecil yis segera
2 biji kuning telur
50gm gula
2 sudu besar water roux
50-60ml air dari peti sejuk
50ml minyak masak
Sedikit garam

Ayak tepung ke dlm sebuah mangkuk & campurkan yis, gaul rata. Masukkan gula, kuning telur dan water roux. Gaul rata.

Kemudian masukkan minyak dan garam. Akhir sekali masukkan air sedikit demi sedikit. Uli hingga doh lembut. Tambahkan tepung sedikit kalau doh lembik. Uli hingga doh lembut, x melekat di tangan dan mangkuk.

Rehatkan doh 30 minit hingga kembang atau naik sekali ganda. Setelah doh naik tumbuk2 doh, canai dan terap. Rehat doh 30 minit lagi. Kemudian bolehlah digoreng menggunakan minyak yg panas dgn api yg perlahan.

WATER ROUX

1/4 cwn tepung gandum + 250ml air. Satukan bahan2 dan masak di atas dapur dgn api yg kecil hingga pekat. Kacau sentiasa agar x berketul. Sejukkan baru boleh digunakan. Boleh simpan selama 2,3 hari di dalam peti ais.

Adunan ini akan menghasilkan sebanyak 20 biji donut bersaiz kecil.




Selamat mencuba !

Thursday, November 28, 2013

Salam rindu, setelah 3 minggu tidak berblogging...jom marble kek sukatan cawan, lembut, sedap dan pasti jadi !

Dah lama tidak mengupdate blog, sebenarnya Sue terlibat dengan pengawasan SPM. Dari pagi sampai petang, memang agak memenatkan. Cuti sekolah pun belum lagi nama bercuti, selagi exam belum habis 5 December ini...
Masak pun ala kadar, cuma tak sempat nak letak di blog. Aduhaiii....busy sungguh.
Hari ni, Sue masak marble cake. Cadangnya nak buat red velvet, tapi bahan tak cukup. Nak pergi beli pun belum berkesempatan, jadinya...masaklah cake yang mudah ni. Cake asas, tapi lembut dan sedap tau. Hehehe...angkat bakul. Anda mesti cuba ya...


Marble Cake

Bahan-bahan :
1 cawan butter
1/2 cawan gula halus
4 biji telur
1 sudu kecil ovellete
4 sudu besar susu pekat
1 sudu kecil esen vanila
2 cawan tepung blue key (self raising flour)
2 sudu besar serbuk coklat (Sue gunakan van-houten)

Cara penyediaan :
1. Pukul gula dan butter hingga kembang.
2. Masukkan telur sebiji demi sebiji sambil dipukul lagi.
3. Masukkan ovellete, susu pekat dan esen vanila.
4. Masukkan tepung sedikit demi sedikit. Teruskan putar hingga sebati.
5. Bahagikan adunan kepada dua bahagian. Satu bahagian dicampurkan dengan serbuk coklat dan satu bahagian lagi dibiarkan dalam warna asal.
6. Griskan loyang dengan mentega, alas dasar loyang dengan kertas minyak.
7. Senduk dan ratakan adunan kek dimulai dengan warna asal, berselang seli dengan adunan warna coklat. Ulangi proses ini sehingga habis.
8. Panaskan ketuhar terlebih dahulu, bakar pada suhu 170ºC selama 50 minit (suhu & waktu membakar adalah mengikut kapasiti ketuhar masing-masing)
9. Gunakan lidi dan cucuk sedikit kek. Sekiranya tidak melekat pada lidi, bermakna kek telah masak. 

*Sue gunakan loyang bentuk rectangle bersaiz 5inci x 10inci
*kek ini kurang manis kerana resepi asalnya menggunakan 1 cawan gula, Sue kurangkan menjadi 1/2 cawan sahaja
*tepung gandum boleh digunakan sebagai alternatif kepada tepung blue key (self raising flour), tapi pastikan tepung gandum +  1 sudu kecil baking powder.

Selamat mencuba, pasti jadi.

Tuesday, November 5, 2013

Gulai kerang pembuka selera

Salam 1 Muharram 1435H untuk semua, semoga sempena tahun baru ini kita dilimpahi rahmat dariNya dan menjadi lebih baik dari sebelumnya insyaAlaah...
Nak masak apa hari ni, apa kata kita masak gulai kerang. Kena awal sikit pergi pasar, nanti nak merebus dan mengopek kerang lagi.
Jom kita semak resepinya.


Gulai Kerang

Bahan-bahan :

2 kg kerang - direndam dalam air biasa dan diletakkan cili kering 5 atau 6 tangkai, biarkan dalam masa anggaran 1/2 jam. Tujuannya adalah untuk mengeluarkan pasir. Kemudian kerang dibilas dengan air beberapa kali sebelum direbus dengan air bersih dan 1 sudu besar garam kasar. Rebus hingga mendidih dan kulit kerang mula terbuka. Tutup api dan toskan air panasnya. Kopek dan ambil isi kerang. Ketepikan.

5 ulas bawang merah ( dikisar halus)
3 ulas bawang putih ( dikisar halus)
2 sudu besar rempah kari ikan
Nanas dipotong nipis
1 sudu besar kerisik
1 cawan santan pekat
2 cawan santan cair
Garam secukup rasa

Bahan tumis :
3 ulas bawang merah 
3 ulas bawang putih
2 tangkai daun kari

Cara masak :
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan tumis hingga harum baunya.
2. Masukkan pes rempah kari ( bawang kisar bersama rempah kari dicampur sedikit air untuk menjadikannya pes yang pekat).
3. Masak dalam api perlahan dan selau dikacau untuk mengelakkan rempah hangit.
4. Bila rempah telah masak, masukkan santan cair, isi kerang, nanas dan sedikit garam. Masak hingga mendidih.
5. Masukkan kerisik dan santan pekat. Biarkan masak lagi atas api. Biarkan sekejap, tutupkan api dan sedia dihidang.

Sambal sotong yang pekat kuahnya...

Dulu-dulu waktu baru belajar memasak, kalau masak sambal sotong mesti kuahnya jadi cair. Maklumlah air sotong akan keluar bila di masak. Betapa tak sedapnya, tapi bila dah tahu caranya...wah...dapat memasak sambal sotong yang pekat kuahnya...adik-adik di luar sana yang baru belajar memasak, bolehlah mencuba cara ini.


Sambal sotong

Bahan-bahan :
1 kg sotong 
2 senduk cili kisar (jika suka lebih pedas, sila tambahkan)
1 senduk bawang besar kisar
3 ulas bawang merah (untuk ditumis)
3 ulas bawang putih (untuk ditumis)
2 sudu air asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara masak :
1. Sotong dicuci bersih dan dimasukkan dalam kuali (tanpa minyak atau air) dan dibiarkan sekejap atas api untuk mengeluarkan airnya. Ketepikan.
2. Panaskan minyak dan tumis bawang merah serta bawang putih hingga harum baunya. 
3. Masukkan cili kisar dan bawang kisar. Masak sehingga pecah minyak.
4. Masukkan air asam jawa, garam dan gula secukup rasa. 
5. Masukkan sotong dan masak dalam api sederhana. Sekiranya perlu, tambahkan sedikit air dari rebusan sotong tadi. Tidak perlu dimasak terlalu lama kerana sotong telah pun dimasak terlebih dahulu dan jika terlalu lama, sotong akan menjadi keras.

Sedia dihidang.

Sayur bunga kobis goreng


Sayur bunga kobis goreng

Bahan-bahan :
Bunga kobis
Capsicum
Cili merah
Bawang besar dipotong mengikut kesukaan
Bawang putih untuk menumis
Udang basah (Sue gunakan jenis yang kecil)
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis
Sedikit air

Cara masak :
1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih hingga kekuningan. Masukkan bawang besar, capsicum dan cili merah. Kacau sekejap.
2. Masukkan udang dan digoreng hingga udang masak.
3. Masukkan bunga kobis, sedikit air dan garam.
4. Kacau sekejap dan sedia dihidang.

Sunday, November 3, 2013

Fruit cocktail in the house, wallla...best makan time cuaca panas...

Cuaca tak menentu sekarang, jom apa kata kita buat fruit cocktail..rasanya semua orang pun biasa buat, kan...hehehe...


Fruit cocktail 

Bahan-bahan:

1 tin susu cair*
1/2 tin susu pekat dicampurkan dengan 1/2 tin air kosong*
*kedua-dua bahan diatas dimasak sekejap dalam api perlahan sambil dikacau sentiasa untuk mengelakkan susu jadi bergentel. Tujuan susu di masak adalah untuk mengelakkan perut jadi tidak selesa (kembung)

1 tin fruit cocktail
1 tin buah laici
Ais batu
Buah ceri (optional)

Cara penyediaan :
Satukan semua bahan di atas termasuk air buahnya.
Sedia dihidang.


Tuesday, October 22, 2013

Snow Cheese Cake yang sangat sedap

Assalam semua,
Sebenarnya dah banyak hari Sue teringin nak makan snow cheese cake, cuma tak berkesempatan nak buat. Barang dah beli, tapi disebabkan kekangan waktu, hujung tahun ni banyak perkara yang perlu diselesaikan. Urusan sekolah, students sedang exam, nak key in PBS lagi (Penilaian Berasaskan Sekolah - sebagai ganti kepada PMR yang akan dimansuhkan) menyebabkan hasrat untuk membuat kek tertangguh.
Akhirnya, dalam mengadap lappy sambil buat kerja sekolah, curi-curi masa juga...
Resepi ini asalnya dari seorang kawan yang berasal dari Brunei. Menurut beliau, kek ini dah lama popular di sana. Resepinya dalam sukatan cawan, senang pulak nak membuatnya. Orang yang tak pakar masak mcm Sue pun boleh buat, insyaAllah...
Kek ini sedang popular sekarang. Tambahan lagi tersangatlah SEDAPPP....rugi kalau tak mencuba..
Jom kita lihat resepinya.

Snow Cheese Cake (sangat sedap)
Oleh : Surianti Ramli

resepi terbaru updated step by step cara membuat boleh tengok di sini (sila click di sini)

1 cawan tepung hongkong (boleh dibeli dikedai yang menjual bahan biskut/kek)
1/2 cawan tepung jagung
3/4 cawan gula kastor
1 sudu teh baking powder
2 sudu besar ovalette
6 biji telur (dari 6 biji telur tadi, 2 biji  dibuang putihnya)
1/4 cawan air dari peti sejuk 
1/3 cawan mentega (dicairkan)

Cara:
1. Satukan semua bahan (kecuali mentega cair) dan dipukul dengan kelajuan sederhana hingga  gebu dan putih anggaran 5 - 7 minit. 
2.  Masukkan mentega cair dan dipukul lagi anggaran 3 - 5 minit.
3. Alaskan loyang dengan kertas minyak. Tuangkan adunan tadi. 
4. Panaskan ketuhar terlebih dulu. Bakar  pada suhu 150'C selama 50 minit.
5. Sejukkan kek.

Bahan Cream:
250g Cream Cheese (Sue gunakan jenamaTatura)
1 cawan susu pekat manis

Satukan bahan krim di atas dan dipukul dengan kelajuan sederhana hingga pekat dan kental.

Bahan Hiasan:
1 buku (250g) cheddar cheese diparut halus.

Cara penyediaan:
1. Sejukkan kek terlebih dahulu selepas dibakar, potong kek menjadi dua lapisan.
2. Sapukan cream cheese diatas lapisan pertama.  
3. Lapiskan dengan bahagian kek yang lagi satu , sapukan baki cream cheese melitupi keseluruhan kek.
4. Parutkan cheddar cheese dan tabur sepenuhnya pada kek.
5. Sejukkan dalam peti ais selama 1 - 2 jam sebelum dipotong.

Sangat sedap dan mudah membuatnya.
Selamat mencuba.




Tuesday, October 8, 2013

Pizza Hawaian Chicken untuk anak-anak




Pizza Hawaian Chicken 

Bahan-bahan:
Uli basic dough (click di sini untuk resepi doh) seperti entry Sue sebelum ini.

Untuk topping - bahagian atas pizza :
1 bahagian dada ayam dipotong kecil.
1/2 labu bawang holland dipotong dadu.
1 biji buah tomato dipotong dadu.
1/3 tin sos prego tradisional.
Garam
Gula
Daun oregano
Sedikit minyak zaitun untuk menumis
Sedikit air

Cara memasak topping :
1. Panaskan minyak zaitun dan tumiskan bawang holland serta buah tomato hingga layu.
2. Masukkan sos prego, sedikit air serta ayam. Air jangan terlalu banyak, nanti jadi hanyut. Biarkan jadi pekat.
3. Masak hingga ayam telah masak. Masukkan garam, gula dan daun oregano.
Ketepikan.

Hiasan atas pizza :
Sedikit nanas dipotong kecil
Capsicum dipotong dadu
Cheese parut

Cara memasak :
-ambil sedikit doh dan canai dalam bentuk bulat. Jangan terlalu tebal. (Sue gunakan pan pizza bersaiz 11 inci)
-griskan pan pizza dengan sedikit mentega.
-pindahkan doh yang dicanai tadi ke dalam pan dan tekan sedikit bahagian kelilingnya supaya memenuhi pan dan doh berada tetap pada permukaan pan.
-panaskan ketuhar terlebih dahulu.
-bakar pada suhu 180ºC selama 10 minit.
-keluarkan dan sapu toppingnya. Taburkan capsicum, hirisan nanas dan cheese parut. Sambung semula pembakaran selama 10 minit lagi. (Keseluruhan masa membakar adalah 20 minit)

Sedia dihidang dan sangat sedap !
Selamat mencuba.

Monday, October 7, 2013

Jom meroti yang lembut dan sedap

Weekend baru ni, Sue buat roti dengan anak2. Ye lah...weekdays dah busy dengan kerja, anak2 pun bersekolah dan ada exam. Time weekend bolehlah bersantai sambil meroti. Anak2 memang peminat pizza, hubby pulak suka roti kosong je. Jadi buat lah kedua2nya.
Sukatan basic dough dibawah ini boleh membuat roti kosong dan 2 biji pizza bersaiz 11 inci. Sue gunakan sukatan cawan atas permintaan kawan-kawan dan juga bagi memudahkan anda yang tiada penimbang. Anda cubalah ya...sedap dapat makan roti buatan sendiri dan dimakan sewaktu masih panas.



Basic Dough :

*1 cawan air kosong
*1 biji telur
*4 sudu besar susu tepung
(satukan ketiga-tiga bahan di atas hingga larut)
-4 cawan tepung high protein
-4 sudu besar gula
-1 sudu besar yeast mauripan
-3 sudu besar marjerin
-1 sudu kecil garam halus
-1 sudu besar shortening

Cara mengadun doh :
1. Masukkan bahan cecair bertanda * pada dasar bekas.
2. Masukkan bahan-bahan kering yang lain.
3. Kaedah breadmaker : tekan butang bread, ambil program 10. Tekan start dan breadmaker akan menunjukkan masa 01:30 iaitu bermaksud doh diuli selama 30minit dan direhatkan selama 1 jam.
4. Biarkan proses ini berlaku sehingga breadmaker berbunyi "beep".
5. Keluarkan doh dan tumbuk sedikit untuk mengeluarkan angin.
6. Doh sedia dibentuk mengikut kesukaan anda.

#peringatan : gunakan cawan yang sama untuk menyukat supaya doh tidak lembek atau keras.
Jika anda menguli secara manual dengan tangan, pastikan anda menguli dengan kuat dan lama bagi memastikan kelembutan roti.



Roti/bun kosong :
1. Griskan loyang dengan sedikit mentega.
2. Ambil 6 bahagian dari doh dan bulatkan.


3. Biarkan ianya mengembang sekali ganda seperti gambar di bawah. Anggaran masa 30 - 40 minit.


4. Pecahkan sebiji telur di dalam mangkuk dan campurkan dengan 3 atau 4 sudu air biasa. Pukul sedikit campuran telur dan roti ini. Sapukan bahagian atas roti dengan telur tadi.
5. Panaskan ketuhar terlebih dahulu. Bakar roti pada suhu 80ºC selama 23 - 25 minit.
6. Keluarkan roti dari ketuhar dan sapukan sedikit mentega diatasnya sewaktu masih panas.

Selamat mencuba.
InsyaAllah esok Sue kongsikan resepi pizza Hawaian Chicken pula.



Sunday, October 6, 2013

Sarapan pizza roti gardenia yang simple

Assalam dan selamat sejahtera semua,
Hampir 2 minggu Sue tak update blog, sibuk dengan urusan di sekolah dan keadaan kesihatan yang kurang memuaskan...masak, tapi tak sempat upload gambar.
Pagi ini, Sue nak kongsikan resepi sarapan yang mudah. Untuk minum petang pun boleh. Biasanya anak-anak suka hidangan begini. Bagi kita pula ibu-ibu, kalau kesuntukan masa pun masih sempat lagi menyediakannya.

Gambar pizza roti sebelum dibakar



Gambar pizza roti selepas dibakar


Bahan-bahan :
4 keping roti gardenia
2 batang sosej dicelur dalam air panas dan dihiris nipis
Mix vege
1/2 labu bawang holland dicincang kecil
Sos prego tradisional
Sedikit mentega
Daun oregano (boleh dibeli dalam botol di pasaraya)
Cheese yang diparut halus

Cara penyediaan :
1. Sapu (secara nipis) sedikit mentega pada roti.
2. Sapu sos prego di atas lapisan mentega tadi.
3. Taburkan bawang holland dan mix vege.
4. Letakkan hirisan sosej di atasnya.
5. Taburkan sedikit daun oregano.
6. Akhir sekali, taburkan cheese parut.
7. Bakar pada suhu 180ºC selama 10 minit.

*sila gandakan bahan-bahannya jika anda menyediakan lebih.

Sedia dihidang.

Saturday, September 21, 2013

Nasi Ayam versi saya....

Nasi ayam ni kira kategori makanan popular di Malaysia. Ada pelbagai versi resepinya. Lain orang, lain caranya. Ini resepi versi Sue. Jom kita semak resepi.


Bahan-bahan:
4 cawan beras dicuci bersih
4 1/2 cawan air rebusan ayam
Garam
Gula
1 sudu teh serbuk kunyit
1 ketul kiub pati ayam

Bahan A (rebus hingga ayam masak dan mendidih) :
1 ekor ayam dicuci bersih
5 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
1 inci halia
Sup bunjut Adabi
Sedikit garam
Air secukupnya (saya gunakan lebih kurang 3 liter air, iaitu sebanyak 4 1/2 cawan untuk memasak nasi dan selebihnya sebagai sup untuk dimakan dengan nasi)

Bahan B (perapan) :
1 cawan kicap lemak manis
3 sudu besar sos tiram
5 sudu besar madu
*sila tambah/kurangkan mengikut citarasa anda.

Bahan tumis :
1 labu bawang besar dipotong dadu
5 ulas bawang putih dipotong dadu
1 inci halia diracik halus
Rempah empat sekawan (kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga)
3 sudu butter
Daun pandan

Bahan sos cili :
5 biji cili merah - dikisar halus
3 ulas bawang putih - dikisar halus
Garam
Gula
Sedikit sos tomato (saya gunakan 3 sudu besar)
* Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan sos cili, masak hingga mendidih. Suaikan rasa garam dan gulanya.

Cara masak :
1. Ayam yang telah direbus ditoskan dan air rebusannya disimpan untuk memasak nasi nanti. Perap ayam dengan bahan B. Lagi lama diperap, rasanya lebih sedap. (Saya perap selama 2 jam)
2. Goreng ayam yang diperap tadi sekejap, jangan goreng lama, anggaran 2 minit sahaja. Ketepikan.
3. Bahan B yang digunakan untuk perapan ayam jangan dibuang. Masak dalam api sederhana untuk menjadikannya sos kicap. Ketepikan juga.
4. Cairkan butter dan tumis dengan bahan tumis hingga harum.
5. Masukkan beras dan kacau dalam anggaran masa 5 minit.
6. Masukkan air rebusan ayam, kiub pati ayam, garam, gula dan serbuk kunyit. Masak seperti memasak nasi biasa.
7. Sedia dihidang dengan sup, sos cili, sos kicap, hirisan timun dan hirisan buah tomato serta daun salad.

*berhati-hati semasa memasak nasi kerana ada kemungkinan jika anda menggunakan rice cooker, akan cepat button "cook" berubah kepada button "warm" yang boleh menyebabkan nasi menjadi mentah.




Wednesday, September 18, 2013

Spaghetti yang sedap

Title post kali ni, masuk bakul angkat bakul sendiri hehehe....resepinya biasa-biasa je..tapi menjadi kesukaan anak-anak. Sampai tak makan nasi langsung disebabkan makan spaghetti ni. Alhamdulillah.



Bahan-bahan :
1 paket spaghetti
1 tin sos prego tradisional
1 biji buah tomato bersaiz besar dipotong dadu (jika kecil, gunakan 2 biji buah tomato)
1 labu bawang holland dipotong dadu (kalau tiada, gantikan dengan bawang besar)
5 ulas bawang putih dipotong dadu
6 batang sosej dihiris nipis
1 keping daging kisar Ramlee
Cendawan butang dipotong kecil ( terpulang kesukaan anda, saya gunakan 7 biji cendawan butang dalam tin)
Garam
Gula
Air secukupnya
2 sudu besar daun oregano (boleh dibeli dalam botol dipasaraya)
Minyak zaitun

Cara masak :

Spaghetti
Didihkan air, campurkan 2 sudu minyak zaitun dan garam. Celur spaghetti hingga lembut, anggaran masa 7 - 8 minit. Toskan dan lalukan air biasa sekejap.

Kuah spaghetti
1. Panaskan sedikit minyak zaitun. Tumiskan bawang putih dan bawang holland. Bila telah kekuningan, masukkan buah tomato yang dipotong dadu. Gorengkan sekejap.
2. Masukkan sos prego, daging kisar dan sedikit air. Masak hingga daging empuk.
3. Masukkan garam, gula, sosej, cendawan butang dan daun oregano. Biarkan masak dalam api perlahan anggaran 5 minit. Tutupkan api dan sedia dihidang.

Selamat mencuba.


Catatan Sue :
Sue edit balik post ini memandangkan ada kawan2 yang tak tahu bawang holland & daun oregano bagaimana bentuknya.

Gambar ehsan dari google :

Bawang holland




Daun oregano boelh dibeli di pasaraya dan kedai peralatan bakery, sekadar memberi contoh jenama Masterfood. Terdapat juga jenama lain dan ada juga yang dijual dalam peket plastik

Sunday, September 15, 2013

Jom masak mee bandung

Mee bandung antara menu kesukaan family Sue. Mungkin cara masak mee bandung ni ada pelbagai versi. Terpulang pada citarasa masing-masing, ini cara Sue. Cepat dan ringkas penyediaannya. Kalau suri rumah yang berkejar masa, sesuai sangatlah mencuba. Ok jom kita lihat resepinya...



Mee Bandung

Bahan-bahan :
1 bungkus mee kuning
1 mangkuk kecil daging dipotong dadu (kalau tak letak daging pun sedap juga)
10 ekor udang basah
5 ekor sotong
Kobis
Sawi
Telur (terpulang berapa biji kesukaan anda)
2 liter air kosong
1 kiub pati ayam
Garam
Gula
2 sudu tepung jagung dibancuh dengan 1/4 cawan air

Bahan kisar :
10 tangkai cili kering direbus terlebih dahulu (jika suka pedas, sila tambahkan)
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 biji buah tomato yang masak
1 genggam udang kering

Bahan hiasan atas mee :
Tauhu digoreng dan dibiarkan sejuk sebelum dipotong
Daun sup
Daun bawang
Bawang goreng
Cili merah
Cili hijau
Limau kasturi

Cara masak :
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan air, daging dan kiub pati ayam.
3. Rebus sehingga daging empuk.
4. Masukkan garam, gula, sotong dan udang.
5. Masukkan bancuhan tepung jagung untuk memekatkan kuah.
6.  Didihkan sekejap
7. Pecahkan telur ke dalam kuah. Perlahankan api supaya telur tidak hancur.
8. Bila telur telah masak, masukkan sayur dan mee.
9. Tutup api, sedia dihidang dengan tauhu goreng, daun sup, daun bawang, bawang goreng, limau kasturi dan cili.

* jika anda  tidak mahu segera memakan mee bandung ini, anda boleh menyediakan kuahnya dulu, jangan masukkan mee lagi. Hanya masak kuah bersama bahan lain sahaja. Mee boleh dicelur berasingan untuk mengelakkannya kembang.

Selamat mencuba.



Saturday, September 14, 2013

Nasi Goreng Cina untuk sarapan

Salam semua, selamat berhujung minggu. Lega rasanya minggu ini cuti sampai Isnin sempena hari Malaysia 16 September. Cuti-cuti macam ni, boleh la memasak. Kalau hari bekerja, kelam kabut berkejar masa. Sarapan apa pagi ini ? Jom kita masak nasi goreng. Senang dan mudah disediakan.
*Tips untuk memasak nasi goreng, pastikan nasi yang hendak digoreng itu dimasak 5 jam sebelum anda menggorengnya supaya nanti jadi peroi dan cantik (tidak lembek atau hancur). Biasanya Sue masak pada waktu malam sebelum tidur sebagai persediaan untuk digoreng pada waktu pagi.


Nasi Goreng Cina (versi saya)

Bahan-bahan :
2 cawan beras dimasak menjadi nasi
5 ulas bawang putih dipotong dadu
1 labu bawang besar dipotong baji
2 keping dada ayam dipotong dadu
*jika suka boleh juga masukkan udang atau sotong
3 biji telur dijadikan telur hancur (scrambled egg)
2 sudu besar sos tiram
4 sudu besar kicap manis
Garam halus secukup rasa
1 sudu besar serbuk lada sulah

Hiasan : daun sup, daun bawang, cili merah

Cara masak :
1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih hingga kekuningan.
2. Masukkan isi ayam dan goreng hingga masak.
3. Masukkan bawang besar dan goreng hingga layu.
3. Masukkan nasi, garam halus, kicap, sos tiram dan lada sulah. Kacau rata hingga sebati semuanya.
4. Akhir sekali, masukkan telur hancur. Kacau rata dan sedia dihidang bersama taburan daun sup dan daun bawang serta cili merah yang dipotong.

Wednesday, September 4, 2013

Sardin Masak Lemak Pucuk Ubi yang simple dan sedap

Simple tapi sedap ! Itu yang dapat dikata pada masakan ini. Sekali rasa, pasti nak cuba lagi.


Sardin Masak Lemak Pucuk Ubi

Bahan-bahan :
1 tin sardin yang besar (diambil kuahnya juga)
2 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
Sedikit garam
Seikat pucuk ubi dibuang batangnya dan dibersihkan

Bahan kisar :
10 tangkai cili padi (jika suka pedas, boleh ditambahkan lagi)
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2 inci kunyit hidup
1/2 inci halia

Cara masak :
1. Masukkan bahan kisar ke dalam periuk bersama santan cair dan pucuk ubi. Masak sehingga pucuk ubi empuk dalam api perlahan.
2. Masukkan ikan sardin betsama kuahnya, garam dan santan pekat.
3. Kacau hingga mendidih dan tutup api.

*masak lemak hendaklah dimasak dalam api perlahan dan selalu dikacau untuk mengelakkannya pecah minyak.

Sunday, September 1, 2013

Cucur Udang yang kekal lembut walaupun seharian....

Masih lagi suasana Syawal, open house sana sini. Sambil-sambil tu, buat cucur udang untuk minum petang. Cuaca petang pulak hujan, sedap makan cucur udang panas-panas dengan air teh o. Kalau anda suka cucur ikan bilis, tumbuk-tumbuk sepatuh hancur dan gantikan saja udang tu dengan ikan bilis. Kaedah bancuhan tepungnya sama saja.



Cucur Udang

Bahan-bahan :
3 cawan tepung gandum
2 1/2 cawan air biasa
1/4 cawan air panas yang baru mendidih
1 biji telur
1 sudu kecil garam halus
1 sudu besar gula
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 ikat kucai dibersihkan dan dipotong
1 mangkuk kecil taugeh
1 mangkuk kecil udang basah
2 keping roti gardenia dicarik halus

Cara masak :
1. Ambil 4 sudu besar penuh tepung gandum (dari sukatan 3 cawan tepung tadi) dan campurkan dengan air yang baru mendidih sehingga menjadi pekat dan sedikit bergentel.
2. Ambil baki tepung gandum dan campurkan bersama bancuhan tadi. Masukkan air  biasa dan semua bahan-bahan. Gaul sebati dan biarkan selama setengah jam.
3. Panaskan minyak, jemput bancuhan tepung menggunakan tangan. Goreng hingga kuning keemasan. Sedia dihidang.


Friday, August 30, 2013

Salam Jumaat Penghulu segala hari....

Hari ini dah 23 Syawal 1434 H...alhamdulillah masih diberikan nafas lagi..maaf kawan-kawan semua, pengunjung blog, hampir dua minggu Sue tak update blog masakan. Baru-baru ini, bz siapkan Wedding doorgift  disamping tugas hakiki di sekolah yang banyak. Hari ini barulah berpeluang update blog...ini pun banyak kali berhenti. Sambung balik taip hehehe...
Dah lama teringin nak makan kari telur ni sebenarnya, teringat-ingat. Ok jom tengok resepinya.


Kari Telur Rebus Berkerisik

Bahan-bahan:
6 biji telur direbus
1 cawan santan pekat
1 cawan santan cair
1 sudu besar kerisik
2 sudu besar rempah kari daging
1 sudu besar rempah kurma
2 biji ubi kentang dipotong 4 setiap satu
Lada merah
Lada hijau
2 keping asam gelugur
Air secukupnya
Garam

Bahan kisar :
1 labu bawang besar
1/2 inci halia
1 sudu ketumbar

Bahan tumis :
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
Rempah 4 sekawan
Daun kari

Cara masak:
1. Bahan kisar disatukan dengan rempah kari dan rempah kurma menjadi pes yang pekat. Jika perlu, tambahkan sedikit air dalam pes ini.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan tumis hingga wangi dan kekuningan.
3. Masukkan bancuhan pes tadi. Masak dalam api perlahan hingga pecah minyak dan perlu kerap dikacau untuk mengelakkannya hangit.
4. Masukkan garam, santan cair, asam gelugur dan ubi kentang.
5. Bila ubi kentang hampir empuk, masukkan santan pekat, lada merah dam lada hijau bersama telur rebus dan kerisik.
6. Masak hingga mendidih.

Sedia dihidang.


Sayur yang ringkas dan mudah disediakan


Sayur Buncis Goreng

Bahan-bahan :
Seikat kacang buncis
1 mangkuk kecil udang
1 sudu teh kunyit serbuk
Bawang besar dipotong baji (terpulang kepada bentuk yang anda suka)
Lada merah dipotong
3 ulas bawang putih diketuk
Garam
Sedikit air

Cara masak :
1. Panaskan minyak. Tumis bawang putih hingga layu.
2. Masukkan udang dan digoreng sekejap.
3. Masukkan kacang buncis, bawang besar, lada merah, kunyit serbuk, garam serta sedikit air. Jangan terlalu banyak air, nanti jadi hanyut. Kacau rata hingga masak.

Sedia dihidang.



Thursday, August 15, 2013

Mee rebus air tangan mak...

Salam 8 Syawal semua...
Sue masih berada dikampung lagi. Suasana meriah aidilfitri masih terasa. Sanak saudara yang jauh dan dekat masih lagi kunjung mengunjungi. Biasanya kalau di kampung, tiada istilah "open house". Tetamu boleh datang bila-bila masa je. Berbanding dengan bandar atau pun rumah di kawasan perumahan taman, penduduknya kebanyakan (boleh dikatakan keseluruhan) bekerja seharian. Sebab itu adanya "open house" untuk meraikan tetamu yang biasanya diadakan pada hujung minggu.
Agaknya apa menu cadangan anda. Jom masak mee rebus resepi mak Sue. kami sekeluarga memasak mee rebus ni untuk dimakan bersama ahli keluarga yang lain petang semalam. Maklumlah, bukan selalu dapat berkumpul bersama. Suasana memang meriah. Dari dulu pun memang mak menggunakan resepi ini dan Sue juga. InsyaAllah sedap. Jom cuba.


Mee Rebus

Bahan-bahan :

Kuah :
1 kg daging cincang/daging direbus hingga empuk (air rebusannya jangan dibuang)
2 biji ubi keledek dicuci bersih, buangkan kulitnya,direbus hingga empuk dan dikisar
1/2 kg kacang tanah digoreng tanpa minyak dan setelah sejuk, dikisar separuh hancur
1 mangkuk kecil sotong kering dicuci bersih
1 mangkuk kecil udang basah
5 ulas bawang merah (untuk ditumis)
5 ulas bawang putih (untuk ditumis)
Garam dan gula secukup rasa
2 kiub pati ayam
Air secukupnya
2 biji buah tomato (kalau buah tomato besar, letakkan 1 biji je) *
10 tangkai cili kering  direbus dengan air hingga mendidih (lebihkan jika suka pedas) *
2 labu bawang besar *
Bahan bertanda * dikisar halus dan disatukan

Cara memasak kuah mee :
1.  Panaskan minyak masak, tumiskan bawang merah dan bawang putih hingga wangi.
2. Masukkan bahan kisar bertanda * dan sotong kering. Masak hingga pecah minyak. 
3. Masukkan daging cincang, air rebusan daging dan air biasa secukupnya. Masak hingga mendidih, masukkan ubi keledek kisar, kiub pati ayam, garam dan gula secukup rasa.
4. Masukkan udang basah dan kacang tanah yang telah dikisar. Biarkan mendidih lagi sekejap dan tutupkan api.

Mee :
2 bungkus mee kuning (dilalukan dengan air sekejap)
Didihkan air dalam periuk dan masukkan mee kuning. Biarkan dalam anggaran 2 - 3 minit. jangan terlalu lama, nanti mee akan jadi mengembang.
Toskan mee kuning dan lalukan air biasa sekali lagi.

Bahan hiasan mee :
5 biji tauhu digoreng dan tunggu sehingga sejuk barulah dihiris nipis
Daun sup dan daun bawang dihiris halus
4 biji ubi kentang direbus empuk dan dihiris nipis
Cili merah
Bawang goreng
Telur rebus
2 mangkuk taugeh direndam dalam air yang baru mendidih anggaran 1 - 2 minit, toskan

Cara menghidang mee rebus :
1. Masukkan sedikit taugeh celur ke dasar mangkuk. 
2. Masukkan mee kuning.
3. Letakkan tauhu goreng, daun sup, ubi kentang, cili merah, telur rebus dan bawang goreng di atasnya.
4. Masukkan kuah, sedia dihidang.

*Jika suka rasa yang sedikit masam, boleh diletakkan juga limau kasturi.

Selamat Mencuba