JOM FOLLOW JADI KAWAN. TQVM SUPPORT JENDELA DAPUR SURIANTI

Jom follow dan jadi sahabat. Tinggalkan jejak anda untuk saya follow kembali.

Nak cari resepi apa ya..taip di sini

Friday, June 2, 2017

Ayam Peri Peri ala Nando's yang menyelerakan

Bismillahirrahmanirrahim,
Disebabkan kesuntukan masa, kali ini Sue menyediakan ayam panggang peri peri menggunakan sos Nando's yang dibeli di Tesco. InsyaAllah ada kesempatan masa, post yang akan datang, Sue akan kongsikan resepi sos ala Nando's yang boleh dibuat sendiri di rumah.

Ayam Peri Peri Ala Nando's
Oleh : Surianti Ramli
Bahan utama :
1 ekor ayam sederhana besar
Bahan perapan :
4 sudu besar sos Nando's (saya gunakan sos peri peri garlic)
4 sudu besar mayonais
2 sudu besar chilli flakes
2 sudu besar paprika
5 ulas bawang putih (tumbuk halus)
1 inci halia (tumbuk halus)
1 sudu kecil garam
1 sudu besar gula
*sos nandos, paprika dan chilli flakes boleh dibeli di pasaraya besar seperti tesco atau giant.
*garam dan gula mengikut citarasa sendiri.
Bahan lain :
3 biji kentang dipotong baji (rebus separuh empuk, toskan airnya)
2 biji bawang besar dipotong 8 bahagian
2 biji buah tomato dipotong 4 bahagian
Daun salad
Minyak zaitun secukupnya
Cara penyediaan :
1. Ayam dicuci bersih dan keringkan dari air (saya gunakan 4 bahagian chicken leg quarters). Tusuk sedikit sekeliling ayam dengan garfu untuk memudahkan bahan perapan meresap.
2. Satukan semua bahan perapan dan gaul rata pada ayam. Perap semalaman untuk rasa yang lebih sedap.
3. Panaskan oven, renjis minyak zaitun sedikit ke atas ayam. Panggang ayam dengan suhu 200'C selama 30 - 40 minit atau sehingga masak. Semasa separuh waktu memanggang, masukkan kentang dan bawang besar yang telah direnjis sedikit minyak zaitun juga. Teruskan panggang hingga masak.
4. Hidangkan bersama buah tomato, daun salad dan sos nando's. Sesuai dimakan dengan nasi butter, nasi biasa atau diratah begitu saja.
Nota : saya memanggang menggunakan air fryer selama 17 minit pada suhu 200'C.



Wednesday, May 31, 2017

Serimuka Durian yang sedap

Bismillahirrahmanirrahim,
Salam 5 Ramadhan buat semua pengunjung blog Jendeladapur Surianti yang dikasihi, rasanya masih belum terlewat untuk mengucaokan selamat menjalani ibadah puasa. Semoga ibadah kita diberkati Allah SWT. Aamiin.

Resepi ini Sue pernah share dulu. Kali ini masih menggunakan resepi yang sama juga. Resepi cara orang tua dulu-dulu, menggunakan sukatan cawan.
Silakan share, semoga bermanfaat.

Seri Muka Durian
Oleh : Surianti Ramli
(Loyang segiempat saiz 7 x 7 inci)
Bahan-bahan :
Bahagian bawah (pulut)
2 cawan beras pulut direndam 30 minit dan toskan
1 cawan santan pekat
1 cawan air
1 sudu kecil garam
Cara penyediaan pulut :
1. Kukus pulut bersama santan, air dan garam hingga masak selama 25 minit. Santan dan air mesti sama paras dengan pulut.
2. Setelah masak, tekan dan mampatkan pulut dalam loyang. Ketepikan.
Bahagian atas/kepala
1 cawan air
1 cawan santan pekat
1/2 cawan gula
1/2 cawan isi durian
1 sudu besar tepung gandum
1/3 cawan tepung kastad
2 biji telur
1 sudu kecil pewarna kuning
Cara penyediaan bahagian kepala :
1. Satukan semua bahan dan dikisar (dengan pengisar/blender).
2. Tapis adunan dan masak di atas api sehingga naik wap (anggaran 3 minit). Adunan hendaklah sentiasa dikacau.
3. Tuang adunan perlahan-lahan ke atas pulut tadi.
4. Balut tudung periuk kukusan dengan kain untuk mengelakkan air wap menitik.
5. Kukus serimuka selama 40 minit. Buka tudung periuk dan kukus selama 5 minit lagi tanpa tudung untuk mengeringkan air pada permukaannya. Tutup api.
6. Tunggu hingga betul-betul sejuk (anggaran masa 4 jam) barulah dipotong dengan pisau plastik.




Tuesday, May 2, 2017

Maggie Goreng Ala Mamak pembuka selera

Bismillahirrahmanirrahim,
Sesekali teringin maggie goreng style mamak, masak seadanya, alhamdulillah sesekali bolehlah jangan selalu.




Maggie Goreng Ala Mamak
Oleh : Surianti Ramli

Bahan-bahan :
2 bungkus maggie (dicelur sekejap dengan air didih & toskan)
200 gm daging ayam dipotong dadu (atau daging lembu yang direbus)
1/2 cawan air
3 ulas bawang putih diketuk
1 sudu besar cili kisar
1 sudu besar serbuk kari
3 sudu besar sos cili
3 sudu besar sos tomato
2 sudu besar kicap pekat
2 sudu besar kicap lemak manis
2 biji ubi kentang direbus (potong dadu)
2 biji telur
Sayur sawi, kobis
Minyak untuk menumis
Garam jika perlu (tapi saya tak letak pun kerana pada saya telah cukup rasa masinnya)

Cara penyediaan :
1. Panaskan minyak, tumis bawang putih hingga harum.
2. Masukkan cili kisar, serbuk kari, isi ayam dan air. Masak hingga isi ayam empuk dan air mulai kering.
3. Pecahkan telur, kacau dengan cepat.
4. Masukkan semua sos bersama maggie, kentang dan sayur. Goreng sekejap saja dengan api kuat hingga rata (hati-hati jangan sampai hangus). Matikan api. Sedia dihidang.

Wednesday, April 19, 2017

Kuih Bakar Berlauk, kuih warisan orang lama

Bismillahirrahmanirrahim,
Kuih lama yang menjadi kegemaran Sue,




Kuih Bakar Berlauk
Oleh : Surianti Ramli
(Dapat 2 biji saiz no 2 seperti gambar).

Bahan A (batter) :
180 gm tepung gandum
375 ml susu cair (atau santan sederhana pekat)
375 ml air
2 biji telur saiz A
2 sudu besar minyak sapi
1/2 sudu kecil garam
Beberapa titis pewarna kuning
-satukan semua bahan di atas, kacau sebati dan tapis.

Bahan B (inti berlauk) :
150 gm daging dipotong kecil
1 labu bawang besar didadu
3 ulas bawang putih didadu
1/2 inci halia didadu
1 sudu besar rempah kari
1 sudu besar rempah kurma
1/4 cawan air (bancuh rempah dan air menjadi pes)
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis
-panaskan minyak, tumis bawang putih dan halia hingga harum.
-masukkan pes rempah bersama daging. Masak hingga daging empuk. (Tambah air lagi jika perlu)
-masukkan garam/gula secukup rasa.
-masukkan bawang besar dan masak hingga inti kering. Matikan api.

Bahan tabur :
Daun sup, daun bawang, cili merah, bawang goreng.

Cara penyediaan :
1. Lenser acuan dengan minyak, panaskan atas api dapur.
2. Masukkan bahan batter hingga 3/4 memenuhi acuan, masak atas api dapur perlahan hingga bahagian tepinya mulai kering sedikit.
3. Taburkan inti daging keseluruh bahagian atas kuih. Tabur juga bahan taburan yang lain.
4. Panaskan oven selama 10 minit dan pindahkan kuih tadi dari dapur ke oven. Bakar pada suhu 160'C selama 15-20 (atau hingga masak).
5. Keluarkan dari acuan dan boleh dipotong ketika suam.



Friday, April 14, 2017

Nasi Kacang Dal pembuka selera bersama Ayam Masak Ros yang sedap


Bismillahirrahmanirrahim,
Hidangan tengahari tadi, seperti yang dijanjikan dalam Instagram, Sue akan masukkan resepinya petang tadi. Tapi disebabkan ada hal yang perlu diuruskan, tertangguh hingga malam.

Nasi Kacang Dal
Oleh : Surianti Ramli


Bahan-bahan :
4 cawan beras basmathi (cuci bersih, rendam dengan air biasa 30 minit dan toskan)
6 cawan air 
1/2 cawan susu cair
1/2 cawan kacang dal (rendam 1 jam, kemudian direbus empuk)
Garam kasar
Gula 
Pewarna kuning

Bahan kisar :
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia

Bahan tumis :
3 sudu besar minyak sapi
1 sudu besar minyak jagung
2 helai daun pandan
1 tangkai bunga cengkih
1 tangkai bunga lawang
1 biji buah pelaga
1 batang kayu manis
1 labu bawang besar didadu 

Cara penyediaan :
1. Panaskan minyak sapi dan minyak jagung. Tumis bahan tumisan hingga harum.
2. Masukkan bahan kisar. Kacau sekejap hingga sedikit didih.
3. Masukkan beras, kacau goreng dalam anggaran 1 minit. 
4. Masukkan air, susu cair, garam serta kacang dal. Masak seperti memasak nasi biasa.
5. Bila air telah kering, titiskan pewarna kuning. Semasa proses ini, jangan dikacau langsung nasi. Biarkan anggaran 10 minit barulah digembur perlahan dengan senduk kayu.

Nota : 
Sukatan air bergantung pada jenis beras yang kita gunakan.
Sukatan garam dan gula, Sue letak masing-masing 1 sudu besar.




Ayam Masak Ros
Oleh : Surianti Ramli


Bahan-bahan :
1 ekor ayam saiz sederhana (cuci bersih, letak garam kunyit dan goreng separuh masak)
1 cawan santan pekat
1 cawan santan cair
Garam dan gula secukup rasa

Bahan kisar A :
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia

Bahan kisar B :
10 - 15 tangkai cili kering
1 biji tomato

Bahan kisar C :
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jintan putih

Bahan tumis :
1/2 cawan minyak lebihan goreng ayam
1 helai daun pandan
Kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang, buah pelaga (gunakan 1 bagi setiap jenis)
1 biji bawang besar dipotong baji

Cara penyediaan :
1. Panaskan minyak, tumiskan bahan tumisan hingga harum.
2. Masukkan bahan kisar A, kacau sekejap. Masukkan bahan kisar B, kacau sekejap juga. Kemudian masukkan bahan kisar C. Kacau api perlahan hingga pecah minyak. 
3. Masukkan santan, garam dan gula. Kacau api perlahan. Masukkan ayam, masak hingga kuah pekat dan bersalut kuah pada ayam. (Sue biarkan anggaran 10 minit). Matikan api.

Ayam masak ros ini adalah masakan yang pekat kuahnya.


Acar Timun Jelatah
Oleh : Surianti Ramli


Nenas
Timun
Bawang besar
Cili merah
Garam
Gula
Cuka (Sue gantikan dengan 1 biji perahan limau kasturi)
-tiada  sukatan khusus untuk acar mentah ini, hanya digaul rata sesedap rasa.
-semua bahan dipotong dan disatukan. Gaul sebati.


Papadom digoreng seperti keropok, Sue gunakan jenis besar, jenama Allagapa's.




Wednesday, April 12, 2017

Sagu Gula Melaka mudah dan sangat sedap

Bismillahirrahmanirrahim,
Hari ini masak sup ayam untuk orang yang baru baik demam, dessert nya pula yang mudah saja. Biasanya Sue buat banyak dan simpan dalam peti ais, makan sejuk-sejuk, sedap !




Sagu Gula Melaka
Oleh : Surianti Ramli

Bahan sagu :
1 cawan sagu (dibilas dengan air dan toskan)
3 cawan air
5 titis pewarna sirap ros
-didihkan air, masukkan pewarna sirap ros dan sagu. Masak dalam api perlahan dan sentiasa dikacau hingga sagu menjadi kembang dan hilang semua putihnya. Sejukkan dalam loyang.

Bahan Gula Melaka :
1 ketul gula melaka (saya pakai yang jenis besar, beratnya 250 gm)
1 cawan air
1 helai daun pandan disimpul
-masak semuanya dalam api perlahan hingga gula melaka cair sepenuhnya dan menjadi pekat.
Sejukkan.

Bahan lain :
1 tin susu cair (susu tak perlu dimasak)
*boleh juga gantikan susu dengan santan yang dimasak sekejap dengan secubit garam

Cara penyediaan :
1. Sendukkan sedikit sagu ke dalam mangkuk atau gelas.
2. Tuang gula melaka yang pekat. Kalau suka rasa yang manis, boleh letak banyak.
3. Tuang susu cair (atau santan) perlahan-lahan.
4. Sejukkan dalam peti ais dan boleh dimakan.




Nota :
Gula melaka perlu pekat supaya membentuk lapisan seperti dalam gambar.

Choc Chips Muffin kesukaan anak-anak


Bismillahirrahmanirrahim.. edisi tertangguh, alhamdulillah sedap dan mudah. Tq kak ummi smile emoticon

Choc Chips Muffin
Sumber : Kak Ummi Zaihadi 
Dicuba oleh : Surianti Ramli

Bahan:-
1 3/4 cawan tepung gandum
1/4 cawan serbuk koko
1 cawan gula kastor
1 sk baking powder
1 sk soda bikarbonat
1/2 sk garam
1 cawan fresh milk
1 biji telor - pukul sikit
1/3 cawan minyak
1 sk esen vanila
3/4 cawan choc chips

Cara Membuat:-
Campurkan tepung, gula, serbuk koko, soda bikarbonat, baking powder dan garam. Ayakkan dan ketepikan.
Dalam bekas lain, campurkan susu, telor, esen vanila dan minyak. Kacau rata.
Masukkan campuran tepung tadi. Kacau rata.
Masukkan choc chips.
Sudukan ke dalam muffin cup dan bakar selama 15 minit/hingga masak. (boleh juga dikukus selama 12 - 15 minit)

Nota :
-Sue bakar dalam suhu 200'C selama 20 minit.




Wednesday, February 15, 2017

Strawberry Crumble Bars yang sangat sedap

Bismillahirrahmanirrahim,
Ada lebihan strawberri, sedap juga bila dibuat crumble bars. Rasanya seakan biskut. Ada rasa masam dari strawberri dan manis dari bahan crumble.
Resepi yang sedap dan wajib cuba, susah nak berhenti bila makan.

Strawberry Crumble Bars
Oleh : Surianti Ramli
Loyang 8 x 8 inci
Bahan A
2 1/4 cawan tepung gandum *
1 sudu kecil baking powder *
1/2 sudu kecil garam *
1 cawan gula kaster (Sue letak 1/2 cawan sahaja)
1 biji telur gred A (pukul sedikit dengan garfu)
1 sudu kecil esen vanilla
1/2 buku mentega sejuk dari peti ais didadu kecil
-bahan bertanda * disatukan dan diayak
Bahan B (satukan dan gaul rata)
10 - 12 biji strawberi didadu kecil
2 sudu besar gula kaster
2 sudu besar tepung jagung
Cara penyediaan :
1. Satukan bahan A dalam besen dan ramas dengan hujung jari hingga membentuk seperti serbuk roti (crumb). Bahagikan adunan kepada 3 bahagian yang sama banyak.
2. Panaskan ketuhar, lenserkan loyang dengan mentega. Alas baking paper dan lenserkan sekali lagi.
3. Ambil 2 bahagian adunan tadi, padat dan ratakan dalam loyang. Curahkan bahan B secara merata. Akhir sekali ambil 1 bahagian adunan yang berbaki dan tabur ke atasnya.
4. Bakar hingga masak antara suhu 160'C - 180'C selama 40 minit mengikut suhu ketuhar masing-masing. Sejukkan terlebih dahulu barulah dipotong.
Yummy !


Sunday, February 12, 2017

Cokodok terlajak sedap

Bismillahirrahmanirrahim,
Banyak stok pisang di rumah, kelmarin muffin pisang. Hari ini cokodok pula. Ada tak yang suka makan cokodok ? Ini versi yang rangup diluar dan kekal lembut didalam walaupun telah sejuk. Nampak ringkas tapi ada yang gagal membuat cokodok. Bila sejuk jadi keras cokodoknya, kan ?


.
Cokodok Pisang
Oleh : Surianti Ramli
.
Bahan-bahan :
7 biji pisang emas/awak yang sederhana besar
2 sudu besar gula perang (boleh pakai gula pasir biasa)
1 sudu kecil baking powder
1/2 sudu kecil soda bikarbonat
1 sudu kecil garam
1 cawan tepung gandum
2 sudu besar tepung beras
.
Cara penyediaan :
1. Satukan semua bahan di atas (kecuali tepung), lenyek bersama pisang hingga hancur.
2. Masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil dikacau rata. Kalau terlalu lembut, tambahkan 1 - 2 sudu besar tepung gandum lagi.
3. Biarkan adunan anggaran masa 15 minit. Basahkan tangan dan jemput adunan, goreng dalam minyak yang panas hingga masak. Tujuan tangan dibasahkan supaya adunan tidak melekat pada tangan semasa kita menjemputnya.
.
Selamat mencuba 

Friday, February 10, 2017

Muffin pisang mudah

Bismillahirrahmanirrahim,
Mudahnya membuat muffin, tanpa perlu mixer. Hanya kacau sebati sahaja. Sesuailah dengan keadaan waktu persekolahan yang agak sibuk tahun ini. Masak pun yang mudah-mudah.


.Muffin Pisang
Oleh : Surianti Ramli
.
Bahan-bahan :
5 biji pisang emas (dilecek)
1 1/2 cawan tepung gandum*
1 sudu kecil baking powder*
1 sudu kecil soda bikarbonat*
1/2 cawan gula perang
1 sudu kecil esen pisang
1/3 cawan minyak jagung
1/3 cawan susu segar
1 biji telur
1/2 cawan choc chip (kali ini saya pakai coklat urai)
Badam untuk hiasan diatas muffin (jika suka)
.
Cara penyediaan :
1. Satukan dan ayak bahan *. Ketepikan.
2. Satukan gula perang, minyak jagung, susu segar, telur, esen dan pisang lecek. Kacau rata menggunakan senduk/spatula atau pun whisk sekejap saja. Kemudian gaulkan dengan bahan ayak dan choc chip/coklat urai sehingga rata.
3. Sediakan muffin tray, letakkan cawan kertas. Sudukan adunan hingga memenuhi 3/4 cawan kertas. Taburkan badam cincang. Bakar selama 23 minit pada suhu 180' C atau pun sehingga masak mengikut suhu ketuhar masing-masing.
.

Friday, February 3, 2017

Sambal Goreng Jawa pembuka selera

Bismillahirrahmanirrahim, 
Menu kesukaan Sue, dapat 1 jenis lauk ni pun dah cukup untuk Sue berselera makan. Masakan jawa selalu menjadi pilihan, hampir semuanya suka. Sampai ada kawan yang kata Sue ni kenan jawa hihihi ...Resepi ini dari sahabat lama yang Sue kenali masa mula menjadi guru dulu tahun 1997, yang sememangnya jawa tulen. 




Sambal Goreng Jawa
Sumber : Kak Ida

Dicuba oleh : Surianti Ramli
.
Bahan kisar :
10 biji cili kering (direbus utk melembutkannya)
10 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 batang serai
1/2 inci lengkuas
Segenggam ikan bilis
*semua bahan diatas disatukan dan dikisar halus
.
Bahan yang di goreng :
1 cawan ikan bilis
1 biji ubi kentang dipotong memanjang
1 keping tempe dihiris nipis
1 keping tauhu (digoreng dulu kemudian barulah dipotong kecil)
*semuanya digoreng berasingan dan ditoskan
.
Bahan yang di rendam :
-suhun
-sayur fucuk
*semua bahan dipotong kecil dan rendam sekejap
.
Bahan lain :
1/4 cawan kicap lemak manis
1/4 cawan santan
1 biji bawang besar dihiris
-minyak untuk menumis
-garam/gula secukup rasa
.
Cara masak:
1. Panaskan minyak, tumis bawang besar hingga harum. Masukkan bahan kisar dan masak hingga cili benar2 masak.
2. Masukkan kicap, santan, garam dan gula. Kacau sekejap & masukkan bahan goreng, kacau sebati. Akhir sekali masukkan bahan rendam. Kacau hingga hampir kering.
Siap.

*Sue tambah sedikit kacang panjang.

Wednesday, February 1, 2017

Killer Soft Bread yang popular di alam maya

Bismillahirrahmanirrahim,
Resepi ini sue buat masa akhir tahun lepas, tapi disebabkan kekangan waktu, tertangguh pula entrynya.
Antara resepi terbaik, ramai rakan fb, blogger dan IG yang telah mencuba resepi ini. Mudah dan hanya menggunakan barang yang minima. Tapi hasilnya memang terbaik alhamdulillah.
*teruja dengan hasilnya, kali ini Sue letak banyak gambar roti.





Killer Soft Bread
Sumber Rujukan : Victoria Bakes
Dicuba oleh : Surianti Ramli

Bahan-bahan :
260 gm tepung high protein (tepung roti)
30 gm gula pasir
3 gm yis kering
180 gm cairan (hasil campuran 1 biji telur gred A + susu full krim jadikan 180 gm cairan)
30 gm mentega
2 gm garam

Cara penyediaan :
1. Satukan bahan kering. Masukkan bahan cairan dan uli hingga sebati.
2. Masukkan mentega dan uli hingga adunan menjadi elastik dan licin. (Saya uli menggunakan mixer)
3. Sapu loyang dengan mentega. Terus bentukkan doh dan letak dalam loyang.
4. Tunggu hingga doh mengembang dua kali ganda. Percikkan air ke atas doh. (Boleh juga oles doh dengan campuran kuning telur dan susu cair).
5. Panaskan oven terlebih dahulu dan bakar hingga masak antara suhu 170 - 180'C selama 15 - 20 minit (bergantung pada jenis oven anda).
6. Sapukan roti/bun yang panas semasa baru diangkat dengan mentega. Sejukkan diredai.

Semasa proses mengembangkan doh.



Bun yang siap dibakar.


 Bun yang masak sempurna mesti berkeadaan seperti in pada bahagian bawahnya.


Nota Surianti:
*Resepi asal menggunakan cairan sebanyak 160 - 180 gm.
*Adunan roti perlu diuli hingga keadaannya licin dan kenyal untuk mendapat hasil roti yang lembut.
*Resepi ini tidak memerlukan proses mengembangkan doh sebanyak dua kali.

Friday, January 20, 2017

Butter Cheese Cake yang sangat sedap

Bismillahirrahmanirrahim,
Hampir sebulan Sue tak update Fb disebabkan kesibukan dengan sekolah dan berkejar ke sana sini menguruskan pelbagai urusan.
Masih belum terlewat rasanya untuk mengucapkan selamat tahun baru 2017,
Butter Cheese Cake antara resepi terawal yang Sue kongsikan semasa baru membuka blog masakan dulu. Keknya gebu, lembut dan sangat sedap pada citarasa kami sekeluarga. Penggemar cheese pasti sukakannya. Resepi wajib cuba, sedap 😊


Butter Cheese Cake
Oleh : Surianti Ramli

Bahan-bahan :
250 gm butter
150 gm cream cheese (Sue pakai Tatura)
200 gm gula caster (Sue letak 160 gm)
5 biji telur gred A
1 sk esen vanila
250 gm tepung gandum (Sue guna superfine)
1 1/2 sk baking powder

Cara penyediaan :
1. Satukan tepung dan baking powder, ayak dan ketepikan. Pukul butter dan gula hingga kembang. Masukkan cream cheese dan pukul lagi hingga sebati dan tidak berketul.
2. Masukkan telur 1 / 1 sambil dipukul lagi.
3. Masukkan esen vanila.
4. Masukkan bahan ayak sedikit demi sedikit sambil dikacau secara kaup balik hingga sebati.
5. Gris loyang 9 in x 9 in dan masukkan adunan.
6. Panaskan oven terlebih dahulu selama 10 minit dan barulah bakar kek hingga masak mengikut oven masing-masing. (Oven saya suhu 160'C selama 50 minit)
7. Sejukkan di redai.