Nasi ayam ni kira kategori makanan popular di Malaysia. Ada pelbagai versi resepinya. Lain orang, lain caranya. Ini resepi versi Sue. Jom kita semak resepi.
Bahan-bahan:
4 cawan beras dicuci bersih
4 1/2 cawan air rebusan ayam
Garam
Gula
1 sudu teh serbuk kunyit
1 ketul kiub pati ayam
Bahan A (rebus hingga ayam masak dan mendidih) :
1 ekor ayam dicuci bersih
5 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
1 inci halia
Sup bunjut Adabi
Sedikit garam
Air secukupnya (saya gunakan lebih kurang 3 liter air, iaitu sebanyak 4 1/2 cawan untuk memasak nasi dan selebihnya sebagai sup untuk dimakan dengan nasi)
Bahan B (perapan) :
1 cawan kicap lemak manis
3 sudu besar sos tiram
5 sudu besar madu
*sila tambah/kurangkan mengikut citarasa anda.
Bahan tumis :
1 labu bawang besar dipotong dadu
5 ulas bawang putih dipotong dadu
1 inci halia diracik halus
Rempah empat sekawan (kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga)
3 sudu butter
Daun pandan
Bahan sos cili :
5 biji cili merah - dikisar halus
3 ulas bawang putih - dikisar halus
Garam
Gula
Sedikit sos tomato (saya gunakan 3 sudu besar)
* Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan sos cili, masak hingga mendidih. Suaikan rasa garam dan gulanya.
Cara masak :
1. Ayam yang telah direbus ditoskan dan air rebusannya disimpan untuk memasak nasi nanti. Perap ayam dengan bahan B. Lagi lama diperap, rasanya lebih sedap. (Saya perap selama 2 jam)
2. Goreng ayam yang diperap tadi sekejap, jangan goreng lama, anggaran 2 minit sahaja. Ketepikan.
3. Bahan B yang digunakan untuk perapan ayam jangan dibuang. Masak dalam api sederhana untuk menjadikannya sos kicap. Ketepikan juga.
4. Cairkan butter dan tumis dengan bahan tumis hingga harum.
5. Masukkan beras dan kacau dalam anggaran masa 5 minit.
6. Masukkan air rebusan ayam, kiub pati ayam, garam, gula dan serbuk kunyit. Masak seperti memasak nasi biasa.
7. Sedia dihidang dengan sup, sos cili, sos kicap, hirisan timun dan hirisan buah tomato serta daun salad.
*berhati-hati semasa memasak nasi kerana ada kemungkinan jika anda menggunakan rice cooker, akan cepat button "cook" berubah kepada button "warm" yang boleh menyebabkan nasi menjadi mentah.