Saturday, September 21, 2013

Nasi Ayam versi saya....

Nasi ayam ni kira kategori makanan popular di Malaysia. Ada pelbagai versi resepinya. Lain orang, lain caranya. Ini resepi versi Sue. Jom kita semak resepi.


Bahan-bahan:
4 cawan beras dicuci bersih
4 1/2 cawan air rebusan ayam
Garam
Gula
1 sudu teh serbuk kunyit
1 ketul kiub pati ayam

Bahan A (rebus hingga ayam masak dan mendidih) :
1 ekor ayam dicuci bersih
5 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
1 inci halia
Sup bunjut Adabi
Sedikit garam
Air secukupnya (saya gunakan lebih kurang 3 liter air, iaitu sebanyak 4 1/2 cawan untuk memasak nasi dan selebihnya sebagai sup untuk dimakan dengan nasi)

Bahan B (perapan) :
1 cawan kicap lemak manis
3 sudu besar sos tiram
5 sudu besar madu
*sila tambah/kurangkan mengikut citarasa anda.

Bahan tumis :
1 labu bawang besar dipotong dadu
5 ulas bawang putih dipotong dadu
1 inci halia diracik halus
Rempah empat sekawan (kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga)
3 sudu butter
Daun pandan

Bahan sos cili :
5 biji cili merah - dikisar halus
3 ulas bawang putih - dikisar halus
Garam
Gula
Sedikit sos tomato (saya gunakan 3 sudu besar)
* Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan sos cili, masak hingga mendidih. Suaikan rasa garam dan gulanya.

Cara masak :
1. Ayam yang telah direbus ditoskan dan air rebusannya disimpan untuk memasak nasi nanti. Perap ayam dengan bahan B. Lagi lama diperap, rasanya lebih sedap. (Saya perap selama 2 jam)
2. Goreng ayam yang diperap tadi sekejap, jangan goreng lama, anggaran 2 minit sahaja. Ketepikan.
3. Bahan B yang digunakan untuk perapan ayam jangan dibuang. Masak dalam api sederhana untuk menjadikannya sos kicap. Ketepikan juga.
4. Cairkan butter dan tumis dengan bahan tumis hingga harum.
5. Masukkan beras dan kacau dalam anggaran masa 5 minit.
6. Masukkan air rebusan ayam, kiub pati ayam, garam, gula dan serbuk kunyit. Masak seperti memasak nasi biasa.
7. Sedia dihidang dengan sup, sos cili, sos kicap, hirisan timun dan hirisan buah tomato serta daun salad.

*berhati-hati semasa memasak nasi kerana ada kemungkinan jika anda menggunakan rice cooker, akan cepat button "cook" berubah kepada button "warm" yang boleh menyebabkan nasi menjadi mentah.




Wednesday, September 18, 2013

Spaghetti yang sedap

Title post kali ni, masuk bakul angkat bakul sendiri hehehe....resepinya biasa-biasa je..tapi menjadi kesukaan anak-anak. Sampai tak makan nasi langsung disebabkan makan spaghetti ni. Alhamdulillah.



Bahan-bahan :
1 paket spaghetti
1 tin sos prego tradisional
1 biji buah tomato bersaiz besar dipotong dadu (jika kecil, gunakan 2 biji buah tomato)
1 labu bawang holland dipotong dadu (kalau tiada, gantikan dengan bawang besar)
5 ulas bawang putih dipotong dadu
6 batang sosej dihiris nipis
1 keping daging kisar Ramlee
Cendawan butang dipotong kecil ( terpulang kesukaan anda, saya gunakan 7 biji cendawan butang dalam tin)
Garam
Gula
Air secukupnya
2 sudu besar daun oregano (boleh dibeli dalam botol dipasaraya)
Minyak zaitun

Cara masak :

Spaghetti
Didihkan air, campurkan 2 sudu minyak zaitun dan garam. Celur spaghetti hingga lembut, anggaran masa 7 - 8 minit. Toskan dan lalukan air biasa sekejap.

Kuah spaghetti
1. Panaskan sedikit minyak zaitun. Tumiskan bawang putih dan bawang holland. Bila telah kekuningan, masukkan buah tomato yang dipotong dadu. Gorengkan sekejap.
2. Masukkan sos prego, daging kisar dan sedikit air. Masak hingga daging empuk.
3. Masukkan garam, gula, sosej, cendawan butang dan daun oregano. Biarkan masak dalam api perlahan anggaran 5 minit. Tutupkan api dan sedia dihidang.

Selamat mencuba.


Catatan Sue :
Sue edit balik post ini memandangkan ada kawan2 yang tak tahu bawang holland & daun oregano bagaimana bentuknya.

Gambar ehsan dari google :

Bawang holland




Daun oregano boelh dibeli di pasaraya dan kedai peralatan bakery, sekadar memberi contoh jenama Masterfood. Terdapat juga jenama lain dan ada juga yang dijual dalam peket plastik

Sunday, September 15, 2013

Jom masak mee bandung

Mee bandung antara menu kesukaan family Sue. Mungkin cara masak mee bandung ni ada pelbagai versi. Terpulang pada citarasa masing-masing, ini cara Sue. Cepat dan ringkas penyediaannya. Kalau suri rumah yang berkejar masa, sesuai sangatlah mencuba. Ok jom kita lihat resepinya...



Mee Bandung

Bahan-bahan :
1 bungkus mee kuning
1 mangkuk kecil daging dipotong dadu (kalau tak letak daging pun sedap juga)
10 ekor udang basah
5 ekor sotong
Kobis
Sawi
Telur (terpulang berapa biji kesukaan anda)
2 liter air kosong
1 kiub pati ayam
Garam
Gula
2 sudu tepung jagung dibancuh dengan 1/4 cawan air

Bahan kisar :
10 tangkai cili kering direbus terlebih dahulu (jika suka pedas, sila tambahkan)
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 biji buah tomato yang masak
1 genggam udang kering

Bahan hiasan atas mee :
Tauhu digoreng dan dibiarkan sejuk sebelum dipotong
Daun sup
Daun bawang
Bawang goreng
Cili merah
Cili hijau
Limau kasturi

Cara masak :
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan air, daging dan kiub pati ayam.
3. Rebus sehingga daging empuk.
4. Masukkan garam, gula, sotong dan udang.
5. Masukkan bancuhan tepung jagung untuk memekatkan kuah.
6.  Didihkan sekejap
7. Pecahkan telur ke dalam kuah. Perlahankan api supaya telur tidak hancur.
8. Bila telur telah masak, masukkan sayur dan mee.
9. Tutup api, sedia dihidang dengan tauhu goreng, daun sup, daun bawang, bawang goreng, limau kasturi dan cili.

* jika anda  tidak mahu segera memakan mee bandung ini, anda boleh menyediakan kuahnya dulu, jangan masukkan mee lagi. Hanya masak kuah bersama bahan lain sahaja. Mee boleh dicelur berasingan untuk mengelakkannya kembang.

Selamat mencuba.



Saturday, September 14, 2013

Nasi Goreng Cina untuk sarapan

Salam semua, selamat berhujung minggu. Lega rasanya minggu ini cuti sampai Isnin sempena hari Malaysia 16 September. Cuti-cuti macam ni, boleh la memasak. Kalau hari bekerja, kelam kabut berkejar masa. Sarapan apa pagi ini ? Jom kita masak nasi goreng. Senang dan mudah disediakan.
*Tips untuk memasak nasi goreng, pastikan nasi yang hendak digoreng itu dimasak 5 jam sebelum anda menggorengnya supaya nanti jadi peroi dan cantik (tidak lembek atau hancur). Biasanya Sue masak pada waktu malam sebelum tidur sebagai persediaan untuk digoreng pada waktu pagi.


Nasi Goreng Cina (versi saya)

Bahan-bahan :
2 cawan beras dimasak menjadi nasi
5 ulas bawang putih dipotong dadu
1 labu bawang besar dipotong baji
2 keping dada ayam dipotong dadu
*jika suka boleh juga masukkan udang atau sotong
3 biji telur dijadikan telur hancur (scrambled egg)
2 sudu besar sos tiram
4 sudu besar kicap manis
Garam halus secukup rasa
1 sudu besar serbuk lada sulah

Hiasan : daun sup, daun bawang, cili merah

Cara masak :
1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih hingga kekuningan.
2. Masukkan isi ayam dan goreng hingga masak.
3. Masukkan bawang besar dan goreng hingga layu.
3. Masukkan nasi, garam halus, kicap, sos tiram dan lada sulah. Kacau rata hingga sebati semuanya.
4. Akhir sekali, masukkan telur hancur. Kacau rata dan sedia dihidang bersama taburan daun sup dan daun bawang serta cili merah yang dipotong.

Wednesday, September 4, 2013

Sardin Masak Lemak Pucuk Ubi yang simple dan sedap

Simple tapi sedap ! Itu yang dapat dikata pada masakan ini. Sekali rasa, pasti nak cuba lagi.


Sardin Masak Lemak Pucuk Ubi

Bahan-bahan :
1 tin sardin yang besar (diambil kuahnya juga)
2 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
Sedikit garam
Seikat pucuk ubi dibuang batangnya dan dibersihkan

Bahan kisar :
10 tangkai cili padi (jika suka pedas, boleh ditambahkan lagi)
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2 inci kunyit hidup
1/2 inci halia

Cara masak :
1. Masukkan bahan kisar ke dalam periuk bersama santan cair dan pucuk ubi. Masak sehingga pucuk ubi empuk dalam api perlahan.
2. Masukkan ikan sardin betsama kuahnya, garam dan santan pekat.
3. Kacau hingga mendidih dan tutup api.

*masak lemak hendaklah dimasak dalam api perlahan dan selalu dikacau untuk mengelakkannya pecah minyak.

Sunday, September 1, 2013

Cucur Udang yang kekal lembut walaupun seharian....

Masih lagi suasana Syawal, open house sana sini. Sambil-sambil tu, buat cucur udang untuk minum petang. Cuaca petang pulak hujan, sedap makan cucur udang panas-panas dengan air teh o. Kalau anda suka cucur ikan bilis, tumbuk-tumbuk sepatuh hancur dan gantikan saja udang tu dengan ikan bilis. Kaedah bancuhan tepungnya sama saja.



Cucur Udang

Bahan-bahan :
3 cawan tepung gandum
2 1/2 cawan air biasa
1/4 cawan air panas yang baru mendidih
1 biji telur
1 sudu kecil garam halus
1 sudu besar gula
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 ikat kucai dibersihkan dan dipotong
1 mangkuk kecil taugeh
1 mangkuk kecil udang basah
2 keping roti gardenia dicarik halus

Cara masak :
1. Ambil 4 sudu besar penuh tepung gandum (dari sukatan 3 cawan tepung tadi) dan campurkan dengan air yang baru mendidih sehingga menjadi pekat dan sedikit bergentel.
2. Ambil baki tepung gandum dan campurkan bersama bancuhan tadi. Masukkan air  biasa dan semua bahan-bahan. Gaul sebati dan biarkan selama setengah jam.
3. Panaskan minyak, jemput bancuhan tepung menggunakan tangan. Goreng hingga kuning keemasan. Sedia dihidang.