Daisypath Friendship tickers
JOM FOLLOW JADI KAWAN. TQVM SUPPORT JENDELA DAPUR SURIANTI

Jom follow dan jadi sahabat. Tinggalkan jejak anda untuk saya follow kembali.

Nak cari resepi apa ya..taip di sini

Wednesday, May 31, 2017

Serimuka Durian yang sedap

Bismillahirrahmanirrahim,
Salam 5 Ramadhan buat semua pengunjung blog Jendeladapur Surianti yang dikasihi, rasanya masih belum terlewat untuk mengucaokan selamat menjalani ibadah puasa. Semoga ibadah kita diberkati Allah SWT. Aamiin.

Resepi ini Sue pernah share dulu. Kali ini masih menggunakan resepi yang sama juga. Resepi cara orang tua dulu-dulu, menggunakan sukatan cawan.
Silakan share, semoga bermanfaat.

Seri Muka Durian
Oleh : Surianti Ramli
(Loyang segiempat saiz 7 x 7 inci)
Bahan-bahan :
Bahagian bawah (pulut)
2 cawan beras pulut direndam 30 minit dan toskan
1 cawan santan pekat
1 cawan air
1 sudu kecil garam
Cara penyediaan pulut :
1. Kukus pulut bersama santan, air dan garam hingga masak selama 25 minit. Santan dan air mesti sama paras dengan pulut.
2. Setelah masak, tekan dan mampatkan pulut dalam loyang. Ketepikan.
Bahagian atas/kepala
1 cawan air
1 cawan santan pekat
1/2 cawan gula
1/2 cawan isi durian
1 sudu besar tepung gandum
1/3 cawan tepung kastad
2 biji telur
1 sudu kecil pewarna kuning
Cara penyediaan bahagian kepala :
1. Satukan semua bahan dan dikisar (dengan pengisar/blender).
2. Tapis adunan dan masak di atas api sehingga naik wap (anggaran 3 minit). Adunan hendaklah sentiasa dikacau.
3. Tuang adunan perlahan-lahan ke atas pulut tadi.
4. Balut tudung periuk kukusan dengan kain untuk mengelakkan air wap menitik.
5. Kukus serimuka selama 40 minit. Buka tudung periuk dan kukus selama 5 minit lagi tanpa tudung untuk mengeringkan air pada permukaannya. Tutup api.
6. Tunggu hingga betul-betul sejuk (anggaran masa 4 jam) barulah dipotong dengan pisau plastik.




Tuesday, May 2, 2017

Maggie Goreng Ala Mamak pembuka selera

Bismillahirrahmanirrahim,
Sesekali teringin maggie goreng style mamak, masak seadanya, alhamdulillah sesekali bolehlah jangan selalu.




Maggie Goreng Ala Mamak
Oleh : Surianti Ramli

Bahan-bahan :
2 bungkus maggie (dicelur sekejap dengan air didih & toskan)
200 gm daging ayam dipotong dadu (atau daging lembu yang direbus)
1/2 cawan air
3 ulas bawang putih diketuk
1 sudu besar cili kisar
1 sudu besar serbuk kari
3 sudu besar sos cili
3 sudu besar sos tomato
2 sudu besar kicap pekat
2 sudu besar kicap lemak manis
2 biji ubi kentang direbus (potong dadu)
2 biji telur
Sayur sawi, kobis
Minyak untuk menumis
Garam jika perlu (tapi saya tak letak pun kerana pada saya telah cukup rasa masinnya)

Cara penyediaan :
1. Panaskan minyak, tumis bawang putih hingga harum.
2. Masukkan cili kisar, serbuk kari, isi ayam dan air. Masak hingga isi ayam empuk dan air mulai kering.
3. Pecahkan telur, kacau dengan cepat.
4. Masukkan semua sos bersama maggie, kentang dan sayur. Goreng sekejap saja dengan api kuat hingga rata (hati-hati jangan sampai hangus). Matikan api. Sedia dihidang.