Thursday, August 15, 2013

Mee rebus air tangan mak...

Salam 8 Syawal semua...
Sue masih berada dikampung lagi. Suasana meriah aidilfitri masih terasa. Sanak saudara yang jauh dan dekat masih lagi kunjung mengunjungi. Biasanya kalau di kampung, tiada istilah "open house". Tetamu boleh datang bila-bila masa je. Berbanding dengan bandar atau pun rumah di kawasan perumahan taman, penduduknya kebanyakan (boleh dikatakan keseluruhan) bekerja seharian. Sebab itu adanya "open house" untuk meraikan tetamu yang biasanya diadakan pada hujung minggu.
Agaknya apa menu cadangan anda. Jom masak mee rebus resepi mak Sue. kami sekeluarga memasak mee rebus ni untuk dimakan bersama ahli keluarga yang lain petang semalam. Maklumlah, bukan selalu dapat berkumpul bersama. Suasana memang meriah. Dari dulu pun memang mak menggunakan resepi ini dan Sue juga. InsyaAllah sedap. Jom cuba.


Mee Rebus

Bahan-bahan :

Kuah :
1 kg daging cincang/daging direbus hingga empuk (air rebusannya jangan dibuang)
2 biji ubi keledek dicuci bersih, buangkan kulitnya,direbus hingga empuk dan dikisar
1/2 kg kacang tanah digoreng tanpa minyak dan setelah sejuk, dikisar separuh hancur
1 mangkuk kecil sotong kering dicuci bersih
1 mangkuk kecil udang basah
5 ulas bawang merah (untuk ditumis)
5 ulas bawang putih (untuk ditumis)
Garam dan gula secukup rasa
2 kiub pati ayam
Air secukupnya
2 biji buah tomato (kalau buah tomato besar, letakkan 1 biji je) *
10 tangkai cili kering  direbus dengan air hingga mendidih (lebihkan jika suka pedas) *
2 labu bawang besar *
Bahan bertanda * dikisar halus dan disatukan

Cara memasak kuah mee :
1.  Panaskan minyak masak, tumiskan bawang merah dan bawang putih hingga wangi.
2. Masukkan bahan kisar bertanda * dan sotong kering. Masak hingga pecah minyak. 
3. Masukkan daging cincang, air rebusan daging dan air biasa secukupnya. Masak hingga mendidih, masukkan ubi keledek kisar, kiub pati ayam, garam dan gula secukup rasa.
4. Masukkan udang basah dan kacang tanah yang telah dikisar. Biarkan mendidih lagi sekejap dan tutupkan api.

Mee :
2 bungkus mee kuning (dilalukan dengan air sekejap)
Didihkan air dalam periuk dan masukkan mee kuning. Biarkan dalam anggaran 2 - 3 minit. jangan terlalu lama, nanti mee akan jadi mengembang.
Toskan mee kuning dan lalukan air biasa sekali lagi.

Bahan hiasan mee :
5 biji tauhu digoreng dan tunggu sehingga sejuk barulah dihiris nipis
Daun sup dan daun bawang dihiris halus
4 biji ubi kentang direbus empuk dan dihiris nipis
Cili merah
Bawang goreng
Telur rebus
2 mangkuk taugeh direndam dalam air yang baru mendidih anggaran 1 - 2 minit, toskan

Cara menghidang mee rebus :
1. Masukkan sedikit taugeh celur ke dasar mangkuk. 
2. Masukkan mee kuning.
3. Letakkan tauhu goreng, daun sup, ubi kentang, cili merah, telur rebus dan bawang goreng di atasnya.
4. Masukkan kuah, sedia dihidang.

*Jika suka rasa yang sedikit masam, boleh diletakkan juga limau kasturi.

Selamat Mencuba


No comments:

Post a Comment