Thursday, December 1, 2016

Tart Telur untuk minum petang, nyaman dan sedap

Bismillahirrahmanirrahim,.
Musim cuti sekolah, semua anak-anak ada di rumah dan asyik ke dapur cari makanan. Petang ini Sue masak tart telur, alhamdulillah sedap. Yang penting semua pun suka. Jom kita lihat cara penyediaannya, Maaflah, Sue tiada gambar langkah demi langkah. InsyaAllah selepas ini jika ada kelapangan, Sue akan cuba upload resepi bersama gambar langkah-langkah demi memudahkan kawan-kawan semua ya..


Tart Telur
Oleh : Surianti Ramli


Bahan- bahan :

Pastri (kulit tart)
250 gm mentega
90 gm gula caster
1 biji telur gred A
480 gm tepung gandum

Cara penyediaan kulit tart :
1. Pukul mentega dan gula menggunakan senduk kayu hingga sebati. 
2. Gaulkan telur dan tambahkan tepung. Uli menggunakan tangan hingga menjadi doh (tidak perlu lama).
3. Acuan tart tidak perlu digris. Saya menggunakan acuan bersaiz diameter 5cm. Bulatkan doh (mengikut saiz acuan tart) dan tekan mengikut bentuknya. Rapikan sekeliling acuan menggunakan pisau. Ulang proses ini sehingga habis. Pastikan kulit tart tidak terlalu tebal.
4. Susun ke dalam loyang dan bakar dalam ketuhar yang telah dipanaskan terlebih dahulu sehingga masak pada suhu 160’C selama 25 minit.
5. Terbalikkan acuan dan kulit tart yang telah masak akan tanggal sendiri dari acuannya. Sejukkan dan simpan dalam bekas kedap udara. Kulit tart ini boleh disediakan lebih awal serta ianya tidak mudah rosak jika betul cara penyediaannya dan penyimpanannya.

Filling (inti)
1 cawan air suam
1/4 cawan gula pasir
1 cawan susu segar
1 sk esen vanilla
1 sb tepung kastard
4 biji telur gred A
-larutkan gula bersama air suam.
-masukkan bahan lain dan kacau sebati. Ketepikan.

Penyediaan tart telur :
1. Panaskan oven terlebih dahulu. Ambil kulit tart dan isikan filling (inti) hingga paras kulit tart.
2. Bakar tart selama 15 minit pada suhu 180'C atau hingga masak (mengikut suhu oven masing-masing).




No comments:

Post a Comment