Saturday, November 29, 2014

Roti Jala yang kekal lembut dan sedap

Walau pun seharian, roti jala ni tetap mengekalkan kelembutan dan kesedapannya. Sedap dimakan dengan kari ayam atau pun kari daging. Alhamdulillah anak-anak dan hubby suka.
Ini juga Sue masak waktu berada di kampung.


Roti Jala
Oleh : Surianti Ramli

Bahan-bahan :
3 cawan tepung gandum
3 1/2 cawan air
1/2 cawan minyak masak
2 biji telur gred A
Secubit garam
Sedikit pewarna kuning
-Adun sebati semua bahan di atas. Sue masukkan dalam blender dan kisar. Kemudiannya, tapis.

Bahan lain :
-sedikit mentega untuk di griskan pada kuali
-sehelai daun pandan untuk menyapu mentega (sebagai ganti kepada berus)
-acuan roti jala berbentuk corong (boleh dibeli di kedai barang plastik dengan harga rm1.30 sahaja)

Cara penyediaan :
1. Griskan sedikit mentega pada kuali leper.
2. Tunggu sehingga kuali panas dalam api sederhana. Isikan roti jala ke dalam acuan dan buat gerakan membulat yang kecil-kecil hingga membentuk satu bulatan yang besar, anggaran diameter 6 inci. (Saiz terpulang pada kesukaan anda). Tunggu sehingga masak, sekejap saja anggaran 2 minit. Setelah masak, tidak perlu kalih roti jala. Terus angkat dan lipat.
3. Ulangi proses ini sehingga habis.

*tips penting : sebelum anda menjala pada kuali, pastikan adunan dapat turun dari corong acuan dengan lancar secara jaluran panjang, bukannya menitis. Jika menitis, membentuk titik seperti bedak sejuk, bermakna adunan anda terlalu pekat. Tambahkan air sedikit-sedikit dan kacau sebati.

Sunday, November 23, 2014

Muffin Pisang untuk anak-anak

Mudah membuat muffin, tak perlu pakai mixer. Hanya kacau rata menggunakan whisk atau pun senduk sahaja. Ringkas, cepat dan mudah berbanding cupcake. Anak-anak suka, sekejap saja berebut makan dah licin.


Muffin Pisang
Oleh : Surianti Ramli

Bahan-bahan :
5 biji pisang emas (dilecek)
1 1/2 cawan tepung gandum*
1 st baking powder*
1 st soda bikarbonat*
1/2 cawan gula perang
1 st esen pisang
1/3 cawan minyak jagung
1/3 cawan susu segar
1 biji telur
1/2 cawan choc chip
Badam cincang untuk hiasan diatas muffin (jika suka)

Cara penyediaan ;
1. Satukan dan ayak bahan *. Ketepikan.
2. Satukan gula perang, minyak jagung, susu segar, telur, esen dan pisang lecek. Kacau rata menggunakan senduk atau pun whisk sekejap saja. Kemudian gaulkan dengan bahan ayak dan choc chip sehingga rata.
3. Sudukan adunan hingga memenuhi 3/4 cup kertas. Taburkan badam cincang. Bakar selama 23 minit pada suhu 180' C atau pun sehingga masak.

Muffin pisang ini sedap dan menjadi kesukaan anak-anak. Selamat mencuba.

Wednesday, November 19, 2014

Butter Cheese Cake yang sangat sedap...yummy !

Sedap sungguh kek ni. Resepinya sama dengan kek butter asas. Tapi bila ditambahkan cream cheese, rasanya lain dari kek biasa. Alhamdulillah anak2 Sue suka. Anda mesti cuba, Percayalah. anda tidak akan menyesal kalau buat kek ni...rasa cheesenya ditambah dengan wangian butter, bergabung menjadikan rasa kek ni hebat...tu diaaa..ayat...hihihi...nak menyatakan kesedapan kek butter cheese cake.


Butter Cheese Cake
Oleh : Surianti Ramli

Bahan-bahan :
220g butter (saya guna SCS)
200g gula castor
250g cream cheese (saya guna Tatura)
5 biji telur gred B
1 sk esen vanilla
250g tepung superfine*
2 sk baking powder*
3 sb susu cair
1 sb coklat emulco

(bahan * disatukan dan diayak)

Cara penyediaan :
1. Pukul butter dan gula hingga kembang.
2. Masukkan cream cheese sambil dipukul lagi.
3. Masukkan telur satu persatu sambil dipukul sebati. Kemudian masukkan esen vanilla.
4. Teruskan memukul sambil memasukkan tepung sedikit demi sedikit berselang seli dengan susu cair.
5. Bila telah sebati, bahagikan kepada dua bahagian. Satu bahagian dibiar kepada warna asal dan satu lagi dimasukkan coklat emulco.
6. Griskan loyang 8" x 8", alaskan baking paper. Kemudian gris lagi diatasnya. Isikan adunan ke dalam loyang berselang seli warna asal dan coklat sehingga habis.
7. Panaskan ketuhar. Bakar pada suhu 170'C selama 55 minit.
8. Setelah masak, biarkan dalam loyang anggaran 3 - 5 minit. Pindahkan kek ke atas redai. Sejukkan sebelum dipotong.

Tuesday, November 18, 2014

Info : Kenapa buat kek tak jadi ?

Perkongsian yang menarik dan berguna, 
-Kek mentega( butter cake) yg tak menjadi, kek itu tenggelam dan bantat dibahagian tengah setelah dikeluarkan dari dalam oven => Jawaban: Kek belum masak betul.
-Sewaktu dibakar kek tenggelam dibahagian tengah => Jawaban: suhu oven terlalu panas yg menyebabkab kek dipaksa untuk naik dgn cepat yg menyebabkan kek tenggelam di tengah.
-Pada keliling kek terdapat kerak yg bergula=> Jawaban: Mentega dan gula tidak dipukul dgn sempurna.
-Terdapat tompok2 putih pada permukaan kek => Jawaban: gula tidak dipukul dengan sempurna( gula tidak larut dgn sempurna) gunakan gula castor ia cepat larut.
-Kek tenggelam atau bantat => Jawaban: suhu oven terlalu panas, kek terlalu lama dibakar, bahan kek tidak dipukul dgn sempurna( tak cukup kembang ).
-Kek berderai bila dipotong => Jawaban: Mentega dan telur dipukul terlalu lama ataupun telur dimasukkan terlalu awal sedangkan gula dan mentega blm cukup kembang.
-Kek melekat pada loyang pembakar => Jawaban: terlalu banyak gula ataupun jika menggunakan loyang yg baru sebaiknya sapukan loyang dgn mentega atau lapisi dgn kertas kek.
-Kek naik dan pecah dipermukaan => Jawaban: Loyang terlalu kecil, suhu oven terlalu panas.
-Keliling kek menjadi keras => Jawaban: Adunan dipukul terlalu lama sebenarnya setelah mentega dan gula cukup kembang kemudian masukkan tepung kaupbalikan saja sehingga sebati. ataupun suhu oven terlalu panas
-Kek hampir hangus tp bahagian tengah tetap tidak masak => Jawaban: Suhu oven terlalu panas, kek dibakar terlalu lama, loyang terlalu kecil.
-Kek pucat dibahagian tengah => Jawaban: Loyang terlalu besar
Tips2 dari Chef Wan beberapa petua penting dalam seni menyediakan kek yg cantik :
Semua bahan hendaklah berada pada suhu bilik melainkan jika resipi itu memerlukan bahan berkenaan sejuk, contohnya mentega/telur Jika terus digunakan dari peti sejuk, apabila dipukul mentega bersama gula dan telur, ia lambat mengembang apatah lagi menjadi gebu. Apabila dibakar dan dipukul sedang adunan belum cukup kembang, kek itu akan bantat dan tidak lembut. Begitu juga telur. Pukul satu-persatu supaya setiap kali dipukul udara dimasukkan. Ini menggebukan lagi kek itu.
Fahamilah fungsi ketuhar anda sebab setiap ketuhar berfungsi secara berlainan. Bergantung berapa umur ketuhar, sama ada sudah uzur ataupun baru dibeli, waktu memanaskannya juga penting sebelum kek itu dibakar. Pastikan selalu memanaskan ketuhar dahulu. Jangan ketika hendak membakar kek baru hendak dihidupkan ketuhar. Selalunya 15 minit memanaskannya sudah mencukupi.
Apabila membakar kek, letakkan ia di tengah-tengah ketuhar, melainkan resipi menyatakan sebaliknya.
Jangan memukul terlalu lama apabila memasukkan tepung ke dalam adunan mentega, kaupbalikkan saja adunkan tepung hingga ia sebati . Memukul terlalu lama akan menarik struktur gluten pada tepinya dan menyebabkan kek keras.
Untuk mendapatkan kek ringan dan gebu, mentega perlu dipukul sampai berkrim.
Membakar kek suatu kerja mudah tetapi apa akan terjadi pada kek apabila ia dikeluarkan dari ketuhar?
Masalah Yang Sering Dihadapi
Jarang sekali kita dapat menentukan kenapa kek tidak menjadi seperti pada gambar resipi. Perlu ingat, semua bahan hendaklah ditimbang dengan betul dan gunakan penimbang serta camca penyukat dan acuan tin yang ditetapkan dalam resipi. Bukan cawan kopi, cawan teh tetapi cawan sukatan metrik. Dan bukan camca teh, camca makan di rumah... tetapi camca sukatan. Apabila kek sedang dibakar, jangan sekali-kali membuka pintu ketuhar sebelum tiga suku membakar kerana angin yang berlainan hawa akan membuatkan kek mendap di tengahnya. Di bawah disenaraikan masalah lain dan sebabnya.
~Kek Terlalu Lembap dan Leper :Terlampau banyak cecair , Bahan penaik tidak mencukupi atau sudah luput tarikh penggunaannya, Lemak dan gula tidak dipukul secukupnya , Adunan mentega berketul-ketul dan tidak halus.
- Kek Merekah di Atas : Ketuhar terlampau panas atau acuan kek tidak diletakkan di tengah tengah ketuhar , Kekurangan cecair , Acuan loyang terlalu kecil.
- Kek yang Mendap di Tengahnya : Ukuran acuan tin tidak betul,
Sukatan bahan tidak tepat , Ketuhar terlalu panas, terlalu sejuk atau dibakar dalam jangka masa singkat , Pintu ketuhar dibuka terlalu awal.
Soalan ini sering kali diajukan : " kenapa kek tak menjadi seperti yang ada pada gambar resepi?"
Berikut adalah kesalahan-kesalahan biasa yang menyebabkan kek tak menjadi dengan sempurna dan sebab-sebabnya: ( hasil rujukan dari pelbagai sumber dan sumber sendiri)
~Kek Tidak Naik Sekata :
Suhu dlm ketuhar tidak panas sekata menyebabkan kek tidak dibakar secara menyeluruh.
Bancuhan tepung tidak sebati.
Suhu ketuhar mungkin terlalu panas.
Adunan melebihi setengah daripada ukuran loyang pembakar.
Loyang tidak sesuai dgn jenis ketuhar yg digunakan.
~Kek Menjadi Bantat :
Telur yang digunakan mungkin terlalu kecil.
Kandungan udara tidak mencukupi sewaktu telur dan gula dipukul.
Ketika memasukkan tepung ke dalam adunan, kadar kelajuan tidak boleh terlalu laju.
Kemungkinan telur yg digunakan sudah tidak elok. Sebaik2nya gunakanlah telur yg segar. Isikan air di dlm bekas dan letak telur di dlmnya. Jika telur terapung bermakna telur itu sudah tidak ada kandungan udara lagi atau sudah busuk.
Tepung sudah tidak elok atau sudah luput tarikhnya. Sebaik2nya, tepung dijemur terlebih dahulu. Ini penting untuk membantu meringankan kek.
Mentega yang dicampurkan dalam adunan mungkin terlalu panas, menyebabkan ia berbuih. Ini menjadikan kek rosak.
Suhu ketuhar terlalu rendah.
~Kek Mendap pada Bahagian Tengah :
Ketuhar yg digunakan sudah terlalu lama dan ia perlu diservis.
Kek tidak dibakar pada tempoh yang seharusnya.
Suhu ketuhar terlampau panas, atau terlampau sejuk atau dibakar dalam masa yang terlalu singkat.
Pintu ketuhar yang selalu ditutup buka (kecuali kek lapis) kurang daripada 30 minit masa membakar. (kemasukan angin yg berlainan hawa akan menyebabkan kek menjadi mendap)
Ukuran acuan tin/ loyang tidak betul.
Sukatan bahan tidak tepat.
Bancuhan Mentega Tidak Sebati dan Bergentel
Mentega tidak dibiarkan pada suhu bilik
Telur terlalu cepat dicampurkan dalam adunan mentega dan gula yang belum betul2 gebu dipukul.
Mentega dan gula tidak betul2 sebati atau gebu dan terlalu cepat mencampurkan telur dalam adunan tersebut.
~Kek Terlalu Lembab dan Leper :
Terlampau banyak cecair.
Bahan penaik tidak mencukupi atau sudah luput tarikh penggunaannya.
Lemak dan gula tidak dipukul secukupnya.
Adunan mentega berketul-ketul dan tidak halus.
~Kek Terlalu Berat :
Sewaktu memukul campuran yang ada tepung, ia dipukul dengan kadar yang terlalu laju.
Campuran mentega, gula dan telur dipukul terlalu lama.
Kemungkinan besar terlalu banyak tepung digunakan.
Serbuk penaik tidak sesuai dgn sukatan tepung.
Gula yang digunakan melebihi sukatan.
Terlalu banyak cecair.
Suhu ketuhar terlalu rendah.
~Kek Merekah :
Suhu ketuhar terlalu panas dan ini menyebabkan bahagian luar kek terlalu cepat masak dan kepanasan tersimpan pada bahagian tengah kek. Ini membuatkan bahagian tengah kek akan merekah.
Jenis loyang tidak sesuai dgn jenis ketuhar yg digunakan.
Loyang pembakar tidak diletakkan ditengah-tengah ketuhar.
Kekurangan cecair.
Acuan / loyang terlalu kecil.
Tepung yang digunakan tidak sesuai seperti tepung berprotein tinggi.
~Kek Buah Mendap :
Ada antara buah yang terlalu besar dan berat.
Buahan kering yang dicuci tidak digaul dengan tepung sebelum ia dicampurkan ke dalam adunan.
Tekstur Kek Terlalu Kasar atau Berlubang-lubang Besar
Terlebih serbuk penaik.
Telur yang digunakan terlalu kecil atau terlalu sedikit.
Adunan tidak dipukul sebati.
~Kek Menjadi Keras :
Gula dan mentega tidak dipukul hingga gebu dan ringan.
Terlalu banyak tepung gandum.
Tidak cukup cecair.
Memukul terlalu lama setelah memasukkan tepung.
Tidak memukul sempurna setelah dimasukkan telur.
Membakar terlalu lama atau suhu terlalu tinggi.
Loyang/acuan kek terlalu besar dan kek menjadi nipis.
Ikuti resepi dengan tepat dan pastikan resepi dari sumber yg boleh dipercayai.
~Kek Menjadi Kering :
Selalunya, dengan menambah 2 - 3 camca besar susu segar, akan membuat kek mampat. Jika mentah di dalam, mungkin saiz acuan tidak betul dan kek terlalu tebal.
~Kek Menjadi seperti Roti :
Sukatan serbuk penaik tidak tepat.
Sukatan mentega / marjerin tidak tepat.
Sukatan gula tidak tepat atau tidak sesuai.
Tepung tidak sesuai.
Adunan tidak dipukul dgn sebati.
~Kek Menjadi seperti Bingka :
Bancuhan tidak dipukul sebati.
Terlampau banyak cecair.
Tepung terlalu sedikit.
Suhu ketuhar tidak cukup panas.
Sumber : Inur-cerita dari perantauan.
Semoga kek anda menjadi.. 

Monday, November 17, 2014

Apam Polkadot yang berwarna warni, menarik dan sedap pula

Sebenarnya dah lama Sue berkenan dengan apam polkadot hasiltangan seorang sahabat Fb, Habibah Mohd Zaini. Kreatif sungguh cara beliau menghasilkan pelbagai corak dan gambar atas apam polkadotnya. Ada kartun minion,  bentuk strawberry, ladybug dll. Sue pun cuba-cuba buat. Tapi memandangkan tangan ni keras lagi dan pewarna di rumah pun tak lengkap, Sue hanya buat bentuk strawberry sahaja. Hasilnya tak secantik Habibah. Segan jugak nak buat tayangan. Kena berlatih buat lagi ni...jom kita lihat :)



Apam Polkadot
Sumber : Habibah Mohd Zaini
Dicuba oleh : Surianti Ramli

Bahan-bahan :
3 biji telur dari peti ais
1 cawan gula icing
2 cawan tepung gandum *ayak
1 sb baking powder *ayak
1 sb ovalette
150 ml susu cair
1 st esen vanila
Filling mengikut citarasa (Sue letak filling strawberry)
Pewarna hijau, merah dll (ikut citarasa sendiri)

Cara penyediaan :
1. Pukul telur hingga kembang.
2. Masukkan gula dan pukul sebati, kemudian masukkan ovalette sambil dipukul lagi hingga adunan jadi kaku dan bertanduk (maksudnya, kalau diterbalikkan mixer pun, adunan tidak akan tumpah).
3. Masukkan esen, kemudian masukkan susu berselang seli dengan tepung sedikit demi sedikit secara kaup balik.
4. Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian dan warnakan. Masukkan adunan berwarna tadi ke dalam piping beg secara berasingan. Gunting hujung piping beg (hingga membentuk lubang kecil sahaja)
5. Letakkan papercup ke dalam acuan lompang. Paipkan adunan hingga memenuhi separuh papercup. Letakkan filling. Paipkan lagi adunan hingga memenuhi papercup. Corakkan mengikut kesukaan.

Saturday, November 15, 2014

Apam Snow White mudah

Dah lama Sue tak masak apam. Sebelum ini, Sue pernah buat apam beras. Letak warna pink, putih dan hijau. Resepinya lebih kurang dengan ini juga, tapi ada kelainan sedikit. Rasa macam sedap je bila teringat nak makan apam. Akhirnya terhasillah apam snow white ni setelah berjalan-jalan ke dapur Myresepi.
Yummy ! Makan dengan kelapa parut. Lawan dengan milo panas. Waktu hujan pulak, lapar. Asyik makan je hihihi...





Apam Snow White
Sumber : qnq0910 (Myresepi)
Dicuba oleh : Surianti Ramli

3 cawan tepung beras
1 cawan tepung gandum
2 cawan gula pasir
1 packet mauripan@ibu roti
2 cawan nasi
3 cawan air

Cara-cara
-masukkan semua bahan ke dalam mangkuk yg sederhana besar kecuali nasi dan air.
-gaul bahan tersebut dan ketepikan sementara waktu.
-kisar/blend nasi dengan air sampai betul2 hancur.
-campurkan nasi yg telah diblend dengan bahan yg telah digaul tadi dan sebatikan adunan.
-biarkan adunan mesra selama satu jam, adunan akan mengembang selepas itu.
-selepas satu jam, isikan adunan ke dalam acuan jeli/agar2 dan kukus dalam pengukus yang telah dipanaskan terlebih dahulu dalam 10-15minit.

note: sapukan acuan dengan sedikit minyak sebelum mengukus supaya hasilnya mengikut bentuk acuan bila dikeluarkan.

#catatan Sue : adunan ini menghasilkan lebih kurang 100 biji apam menggunakan acuan lompang. Sue buat separuh saja dari adunan di atas sebab takut tak habis kalau terlalu banyak. Rupanya, sekejap saja dah kosong pinggan. Lain kali kena buat satu adunan penuh.

Friday, November 14, 2014

Makaroni Goreng yang simple tapi sedap untuk dinner

Late dinner untuk malam tadi...masak yang simple2 je. Alhamdulillah, anak2 suka.


Makaroni Goreng
Oleh : Surianti Ramli

Bahan-bahan :
-2 cawan makaroni
-1 labu bawang holland (kalau tiada, gantikan dengan bawang besar) dipotong dadu
-1 biji buah tomato dipotong dadu
-1 mangkuk kecil daging dipotong kecil
-1/2 tin sos prego tradisional
-Sayur : Karrot,
batang celery, capsicum
-2 sb lada hitam
-2 sb mixed herbs (boleh dibeli dipasaraya)
-Sedikit minyak untuk menumis (saya pakai minyak zaiton)
-Garam dan gula secukup rasa
-Sedikit air

*jika suka, boleh tambahkan cendawan butang, crab stick (stick ketam), sosej dll.
*masakan ini tak pedas, sesuai untuk anak2. Kalau suka pedas, sila tambahkan cili kisar.

Cara masak :
1. Didihkan air, tambahkan secubit garam dan 1sb minyak. Celur makaroni hingga lembut. Tos dan ketepikan.
2. Panaskan minyak masak. Tumiskan bawang bersama buah tomato hingga layu.
3. Masukkan daging dan sedikit air. Masak hingga empuk.
4. Masukkan sos prego bersama garam dan gula, kacau hingga didih.
5. Masukkan makaroni tadi bersama lada hitam dan mixed herbs. Kacau rata. Akhir sekali masukkan sayur. Biar sebentar. 

Siap :)

Sunday, November 9, 2014

Puding Roti dengan Sos Kastard

Ada banyak lagi roti di dapur yang hampir sampai tarikh luput. Sayang membazir kalau tak habis. Penyelesaiannya, jadi lah puding roti.
Resepinya hampir sama seperti Puding Roti versi bakar yang Sue selalu buat. Hanya kali ini Sue kukus. Sedap rasanya kalau dikukus berbanding bakar (ikut tekak Sue). Anda boleh pilih nak bakar atau kukus ya...



Puding roti (versi kukus)
Oleh : Surianti Ramli

Bahan-bahan :
 8 keping Roti
* segelas susu segar  * 2 sb gula
* 2 sb mentega- cairkan
* 2 biji telur
* 1 st esen vanilla
* 1 sb tepung jagung
segenggam kismis hitam/ceri

Sos Kastard :
1 tin susu cair (boleh juga gunakan 1 gelas susu segar)
2 sb tepung kastad
2 sb gula
1 st esen vanilla

Cara-cara:
1. Griskan loyang, potong empat atau pun carik-carikkan roti. Susunkan dlm loyang.
2. Blend bahan-bahan bertanda * (lebih kurang 2minit) dan tuang ke atas roti tadi.
Biarkan roti terendam 30minit.
3. Taburkan kismis atau ceri diatas roti.
Kukus selama 25 minit.
4. Untuk membuat sos kastad , campurkan semua bahan sos ke dalam periuk dan kacau hingga masak (agak pekat) dlm api perlahan.
5. Makan puding roti bersama sos kastard.

Saturday, November 8, 2014

Bubur Kacang Hijau untuk minum petang


Dah lama tak masak bubur kacang hijau ni. Sedap pulak, bertambah-tambah makan. Untuk resepi ini, Sue masak menggunakan periuk "pressure cooker" Noxxa dari Amway. Sekejap je dah masak. Jom kita lihat resepinya.

Bubur Kacang Hijau
Sumber : Group Noxxa
Diolah semula oleh : Surianti Ramli

Bahan-bahan :
2 cawan kacang hijau ( tak perlu rendam)
8 cawan air
2 cawan santan pekat
2 sb sagu putih
8 sb gula perang (brown sugar)
Secubit garam
2 helai daun pandan

Cara masak :
1. Masukkan kacang hijau bersama air ke dalam periuk. Ambil fungsi high pressure 12 minit. On kan periuk. Tunggu hingga bunyi beep, lepaskan tekanan supaya wapnya keluar.
2. Ambil fungsi stir fry, masukkan gula, garam, sagu, daun pandan dan juga santan pekat. On kan periuk. Tunggu hingga mendidih. (Anggaran 5 minit sahaja). Off kan periuk.

Siap. Sedia dihidang.

*Kalau masak menggunakan periuk biasa, bahan yang digunakan sama juga seperti di atas. Hanya kacang hijau perlu direndam selama 4 jam untuk mempercepatkan ianya empuk. 

Tuesday, November 4, 2014

Carrot Walnut Cake yang sedap, moist, berkrim...

Entry kek lagi...Kami satu family memang penggemar kek carrot. Tapi tak boleh buat selalu. Maklumlah, nanti sedar2 baju semua dah tak muat. Hihihi...ok jom kita semak resepinya.


Carrot Walnut Cake
Oleh : Surianti Ramli

2 cawan tepung superfine*
1/2 sk baking powder*
1/2 sk soda bikarbonat*
3/4 cawan gula perang
1/4 cawan gula castor
4 biji telur
1 sk esen vanilla
1 sk serbuk kayu manis
1 sb susu pekat manis
1 cawan minyak jagung
1 cawan walnut cincang (panggang terlebih dulu)
2 cawan carrot parut
1/2 cawan kismis hitam

#Satukan carrot parut bersama kismis hitam dan perap selama 2 jam.

Cara penyediaan :
1. Pukul telur hingga kembang. Kalau tiada mixer, boleh gunakan blender.
2. Masukkan gula castor dan gula perang sambil dipukul lagi. Kemudian masukkan susu pekat, minyak jagung dan  esen vanilla, pukul lagi anggaran 3 minit. Ketepikan.
3. Satukan bahan bertanda * dan ayak.  Gaul sebati bersama bahan yang dipukul tadi. Masukkan serbuk kayu manis, carrot parut, walnut dan juga kismis. Kacau rata secara kaup balik sahaja.
4. Panaskan oven. Griskan loyang bulat bersaiz 7" dan alas dengan baking paper. Griskan lagi sekali di atasnya. Bakar kek selama 50 minit pada suhu 170'C atau sehingga masak mengikut jenis oven masing-masing.

Nota :
Sukat semua bahan menggunakan saiz cawan yang sama. (Saya gunakan cawan metrik).
Sejukkan kek terlebuh dahulu sebelum menyapu butter cream.
Kek ini bertekstur lembab.

Butter cream :
125g butter (1/2 buku)
250g cream cheese (saya guna tatura)
1/2 cawan gula icing
1 sb susu pekat manis
1 sk jus lemon

-pukul butter hingga kembang, masukkan cream cheese sambil dipukul lagi hingga gebu. Masukkan gula icing, susu pekat dan jus lemon. Pukul sebati, sekejap saja. Sedia untuk digunakan.

Saturday, November 1, 2014

Kek Pisang Coklat Urai

Sedap dan wangi !
Sue masak kek pisang ni beberapa hari lepas, entry tertangguh. Baru hari ini dapat postkan dalam blog. Resepinya Sue dapat dari sahabat FB - Intan @ Adura's Delight. Sue copy paste di sini ya...




Kek Pisang Coklat Urai
Sumber : Adura's Delights
Dicuba oleh : Surianti Ramli
Bahannya :
2 cawan tepung gandum
1/2 cawan gula castor atau gula pasir
1/2 cawan gula perang
2 cawan pisang emas atau pisang berangan (yang telah dilecek)
1 cawan minyak jagung atau minyak masak sebarang jenama
2 biji telur
1 sudu kecil esen pisang atau esen vanilla
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil soda bikarbonate
1/2 cawan coklat urai (nak ganti dgn coklat cip pun boleh)
sedikit garam
Caranya :
- Pukul telur bersama gula castor dan gula perang hingga kembang. Kemudian tambah minyak jagung, pukul sebati. Selepas tu tambah pula esen pisang. Pukul lagi.
- Kemudian masukkan pisang lecek. Pukul sebati, tambah sedikit garam.
- Ayak tepung bersama baking powder dan soda bikarbonate, kemudian campurkan bahan2 yang telah dipukul tadi secara sikit demi sedikit, gaul sebati dgn senduk kayu.
- Campurkan coklat urai kedalam adunan, gaul sebati & tuangkan adunan ke dalam loyang yg telah dilapik dgn kertas minyak atau digris dgn butter.
- Panaskan oven, sedia untuk dibakar selama 40-60 minit dgn suhu 180c (mengikut oven masing2) sehingga masak.
- Setelah masak, keluarkan dari oven, sejukkan barulah dipotong. Sedia untuk dinikmati. Selamat mencuba.