Monday, July 29, 2013

Cucur Udang

Ini merupakan salah satu yang paling disukai anak-anak Sue dan hubby. Sue sendiri pun suka. Resepi cucur udang ni merupakan resepi allahyarham nenek Sue (di Utara, nenek dipanggil Tok). Kira warisan turun temurun lah resepi ni. Tiap kali masak cucur udang, Sue akan teringat allahyarham Tok Leha yang telah meninggalkan kami semua hampir 30 tahun yang lalu. Alfatihah....yang pergi tetap pergi, kita pun bakal menyusul. Hanya mampu mengirim doa semoga yang pergi ditempatkan bersama para solohin, insyaAllah. Ok, mari kita lihat resepinya.


Cucur Udang

Bahan cucur :
2 cawan tepung gandum
1 3/4 cawan air
1/2 sudu besar yis mauripan
1 mangkuk  kecil taugeh
1 ikat kucai dibersihkan dan dipotong hampir 1 inci panjang
1 sudu teh kunyit serbuk
1 sudu teh garam
1 sudu besar gula
1 mangkuk kecil udang basah (untuk diletakkan diatas cucur sewaktu menggoreng)

 Cara masak cucur udang :
1. Satukan semua bahan di atas kecuali udang dan dibiarkan selama 30 minit sebelum digoreng. 
2. Panaskan minyak dan letakkan senduk bulat terendam sekejap dalam minyak.
3. Ambil senduk dan isikan bancuhan tepung memenuhi 3/4 kedalaman senduk tadi. Letakkan 3 ekor udang ke atasnya.
4. Rendamkan ke dalam minyak panas (api sederhana) anggaran 1 - 2 minit.
5. Gunakan pisau tajam (atau sudu pun boleh) untuk menanggalkan tepung cucur dari senduk. Balik-balikkan cucur dan goreng hingga keemasan.
6. Angkat cucur dan toskan. Ulang proses yang sama hingga habis bancuhan tepung.


Anda akan mendapat 11 - 12 keping cucur udang. Walaupun dimakan waktu cucur telah sejuk, cucur ini tidak akan liat atau pun keras. Kekal lembut dan sangat sedap.

* Jika anda rasa sukar untuk memasak cara begini, boleh juga tidak menggunakan senduk. Sebaliknya goreng dengan cara membuat jemput-jemput sahaja.

Bahan untuk kuah kacang :
1. 1 cawan kacang tanah digoreng tanpa minyak dalam api sederhana hingga masak. Angkat dan biarkan ianya sejuk. Setelah kacang mulai sejuk, tumbuk separa hancur. Ketepikan.
2. 3 tangkai cili kering dicuci bersih dan dikeringkan. Goreng dalam kuali tanpa minyak juga hingga hampir garing. Boleh terus ditumbuk dengan menambah 1 sudu besar air bagi memudahkan cili menjadi lumat. Ketepikan.
3. 3 - 4 sudu besar perahan air asam jawa yang pekat.
4. 2 sudu besar gula merah dicampur air panas dan dilarutkan.
5. Gula pasir (saya gunakan 1 sudu besar penuh, terpulang pada sukatan anda).
6. 1/2 sudu kecil garam halus.
7. Air panas secukupnya (yang baru mendidih)

Cara membuat kuah kacang :
Satukan semua bahan diatas dengan air panas dan kacau hingga sebati. Bila telah cukup rasanya, sedia dihidang dengan cucur udang.



*jika anda tidak suka kuah kacang, boleh juga dihidangkan bersama sos kegemaran masing-masing.

Selamat mencuba resepi warisan keluarga kami.


No comments:

Post a Comment