JOM FOLLOW JADI KAWAN. TQVM SUPPORT JENDELA DAPUR SURIANTI

Jom follow dan jadi sahabat. Tinggalkan jejak anda untuk saya follow kembali.

Nak cari resepi apa ya..taip di sini

Wednesday, December 14, 2016

Pulut Dakap yang popular di Utara Semenanjung


Bismillahirrahmanirrahim,
Pulut dakap yang sedap. Agak lama Sue tak buat. Kebetulan baru-baru ini ada daun pisang yang diambil dari kampung, dapatlah buat 10 biji. Sedap alhamdulillah.


Pulut Dakap
Oleh : Surianti Ramli

Bahan-bahan :
2 cawan beras pulut (rendam 30 minit, toskan)
1 1/2 cawan santan sederhana pekat
1/2 sudu kecil garam
5 biji pisang emas (boleh juga gunakan pisang awak yang ranum)
Daun pisang yang dilayur secukupnya 
Tali untuk mengikat

Cara penyediaan :
1. Satukan pulut, santan dan garam. Tanak sehingga masak.
2. Ambil pisang dan belah kepada dua bahagian. Ketepikan.
3. Bentangkan daun pisang, ambil 2 sudu besar pulut. Ratakan dengan sudu. Ambil 1 bahagian pisang dan letak di atasnya.
4. Lipat dan kemaskan supaya pulut menutupi keseluruhan pisang. Ulangi hingga habis.
5. Ambil 2 bungkus pulut dan cantumkan kedua-duanya. Ikat kedua-dua bungkusan dengan tali pada bahagian kiri dan kanan.
6. Rebus dalam air yang tenggelam selama 15 minit. Ada juga yang mengukusnya selama 20 - 25 minit. (Sue rebus ikut cara emak)
Sedia dihidang.

* boleh lihat langlah-langkah di bawah untuk membalut pulut dakap.

Tuesday, December 13, 2016

Nasi Goreng Cili Kering cara orang kampung yang sedap, menggamit nostalgia

Bismillahirrahmanirrahim...
Setelah beberapa hari tidak bersiaran, hari ini Sue teringin sangat untuk makan nasi goreng cili kering. Dulu masa kecil, Sue berjiran dengan satu keluarga yang mempunyai anak yang ramai. Setiap kali bermain dengan anak-anak mereka, Sue selalu juga dijamu makan nasi yang di masak oleh keluarga berkenaan. Sedap dan meriah walaupun ringkas sahaja. Waktu itu nasi goreng kosong tanpa sayur pun sedap sangat. Tapi kali ini Sue masukkan sedikit kacang buncis sebagai tambahan.


Nasi Goreng Cili Kering
Oleh : Surianti Ramli

Bahan-bahan :
2 cawan beras dimasak dan biarkan sejuk (lagi elok jika 4 - 5 jam sebelum kita menggoreng)
10 tangkai cili kering direndam dalam air panas sehingga lembut
2 labu bawang besar
5 ulas bawang putih
1 cm belacan
50 gm ikan bilis
2 biji telur
10 tangkai kacang buncis dihiris
3 sudu besar minyak untuk menumis
Garam secukup rasa

Cara-cara :
1. Cili kering, bawang, belacan, garam dan ikan bilis ditumbuk kasar. Ketepikan.
2. Panaskan minyak masak dalam kuali. Tumis bahan tumbuk tadi hingga harum baunya dan sedikit garing.
3. Masukkan sayur kacang buncis, kacau sekejap.
4. Kuiskan bahan tumbuk dan sayur ke tepi kuali. Pecahkan telur di bahagian tengah kuali dan kacau dengan cepat hingga telur masak.
5. Masukkan nasi dan goreng sehingga rencah sebati dengn nasi. Matikan api.

Siap.
Anda mesti cuba, mudah dan sangat sedap.


Tuesday, December 6, 2016

Serimuka durian terlajak sedap, pembuka selera

Bismillahirrahmanirrahim..
Antara yang menjadi kegemaran keluarga Sue, serimuka durian. Bak kata anak-anak, terlajak sedap. Suami Sue pun sama juga, tak boleh berhenti makan katanya. Jadi ketagih..hihihi... jom kita lihat resepinya.





Seri Muka Durian
Oleh : Surianti Ramli
(Loyang segiempat saiz 7 x 7 inci)

Bahan-bahan :
Sukatan menggunakan cawan metrik

Bahagian bawah (pulut)
2 cawan beras pulut direndam 30 minit dan toskan
1 cawan santan pekat
1 cawan air
1 sudu kecil garam

Cara penyediaan pulut :
1. Kukus pulut bersama santan, air dan garam hingga masak selama 25 minit. Santan dan air mesti sama paras dengan pulut.
2. Setelah masak, tekan dan mampatkan pulut dalam loyang. Ketepikan.

Bahagian atas/kepala
1 cawan air
1 cawan santan pekat
1/2 cawan gula
1/2 cawan isi durian
1 sudu besar tepung gandum
1/3 cawan tepung kastad
2 biji telur
1 sudu kecil pewarna kuning

Cara penyediaan bahagian kepala :
1. Satukan semua bahan dan dikisar (dengan pengisar/blender).
2. Tapis adunan dan masak di atas api sehingga naik wap (anggaran 3 minit). Adunan hendaklah sentiasa dikacau.
3.  Tuang adunan perlahan-lahan ke atas pulut tadi.
4. Balut tudung periuk kukusan dengan kain untuk mengelakkan air wap menitik.
5. Kukus serimuka selama 40 minit. Buka tudung periuk dan kukus selama 5 minit lagi tanpa tudung untuk mengeringkan air pada permukaannya. Tutup api.
6. Tunggu hingga betul-betul sejuk (anggaran masa 4 jam) barulah dipotong dengan pisau plastik.





Thursday, December 1, 2016

Tart Telur untuk minum petang, nyaman dan sedap

Bismillahirrahmanirrahim,.
Musim cuti sekolah, semua anak-anak ada di rumah dan asyik ke dapur cari makanan. Petang ini Sue masak tart telur, alhamdulillah sedap. Yang penting semua pun suka. Jom kita lihat cara penyediaannya, Maaflah, Sue tiada gambar langkah demi langkah. InsyaAllah selepas ini jika ada kelapangan, Sue akan cuba upload resepi bersama gambar langkah-langkah demi memudahkan kawan-kawan semua ya..


Tart Telur
Oleh : Surianti Ramli


Bahan- bahan :

Pastri (kulit tart)
250 gm mentega
90 gm gula caster
1 biji telur gred A
480 gm tepung gandum

Cara penyediaan kulit tart :
1. Pukul mentega dan gula menggunakan senduk kayu hingga sebati. 
2. Gaulkan telur dan tambahkan tepung. Uli menggunakan tangan hingga menjadi doh (tidak perlu lama).
3. Acuan tart tidak perlu digris. Saya menggunakan acuan bersaiz diameter 5cm. Bulatkan doh (mengikut saiz acuan tart) dan tekan mengikut bentuknya. Rapikan sekeliling acuan menggunakan pisau. Ulang proses ini sehingga habis. Pastikan kulit tart tidak terlalu tebal.
4. Susun ke dalam loyang dan bakar dalam ketuhar yang telah dipanaskan terlebih dahulu sehingga masak pada suhu 160’C selama 25 minit.
5. Terbalikkan acuan dan kulit tart yang telah masak akan tanggal sendiri dari acuannya. Sejukkan dan simpan dalam bekas kedap udara. Kulit tart ini boleh disediakan lebih awal serta ianya tidak mudah rosak jika betul cara penyediaannya dan penyimpanannya.

Filling (inti)
1 cawan air suam
1/4 cawan gula pasir
1 cawan susu segar
1 sk esen vanilla
1 sb tepung kastard
4 biji telur gred A
-larutkan gula bersama air suam.
-masukkan bahan lain dan kacau sebati. Ketepikan.

Penyediaan tart telur :
1. Panaskan oven terlebih dahulu. Ambil kulit tart dan isikan filling (inti) hingga paras kulit tart.
2. Bakar tart selama 15 minit pada suhu 180'C atau hingga masak (mengikut suhu oven masing-masing).