JOM FOLLOW JADI KAWAN. TQVM SUPPORT JENDELA DAPUR SURIANTI

Jom follow dan jadi sahabat. Tinggalkan jejak anda untuk saya follow kembali.

Nak cari resepi apa ya..taip di sini

Saturday, February 28, 2015

Mee sanggul sedap yang femes di utara untuk dinner malam tadi,

Mee sanggul memang agak femes di negeri2 utara. Masa kecik dulu, emak Sue selalu masak. Sedap ! Tapi sejak merantau ni (bunyi macam jauh sangat merantaunya) dah jarang Sue makan. Baru2 ini, tertengok kawan fb yang memang pakar memasak, kak Mufidah buat mee sanggul, Sue pun terus buat juga.  Sue masak sama seperti menggoreng mee/kuetiaw juga. Alhamdulillah sedap dan menepati selera kami sekeluarga.



Mee Sanggul
Oleh : Surianti Ramli

Bahan-bahan :
300g mee sanggul kering (2 bungkus) - direndam dalam air biasa 45 minit hingga 1 jam
3 ulas bawang merah dimayang
3 ulas bawang putih di mayang
1 senduk cili kisar (jika suka pedas, sila tambahkan)
Sedikit daging dipotong kecil
Sedikit udang dan sotong
1/4 cawan kicap lemak manis
3 sudu besar sos tomato
3 sudu besar sos cili
Gula dan garam secukup rasa
Sedikit air
Sedikit minyak untuk menumis
Sayur kesukaan (seperti sawi / kobis /taugeh  / kucai)

Cara masak :
1. Panaskan minyak. Tumis bawang hingga layu.
2. Masukkan cili kisar. Masukkan daging bersama sedikit air. Rebus hingga daging empuk.
3. Masukkan garam, gula, kicap serta sos. Kacau sebentar.
4. Masukkan udang/sotong. Biar sekejap.
5. Masukkan sayur bersama mee sanggul dan kacau rata. Tak perlu goreng lama kerana mee sanggul ini lembut seperti kuetiaw/mee kuning.
Kacau sekejap saja dan sedia dihidang. Taburkan daun sup bersama daun bawang, cili potong dan limau kasturi jika suka.

*utk sukatan sos dan kicap, boleh suaikan dengan citarasa sendiri.

Gambar ehsan dari google.
Sue tak sempat ambil gambar mee sanggul sebelum merendamnya.


Sebab mengapa dipanggil mee sanggul adalah bentuk mee ini yang sama seperti sanggul (sebelum direndam)

Tuesday, February 24, 2015

Spaghetti Carbonara mudah

Sue masak spaghetti carbonara (sos putih) ni masa tak sihat baru2 ini. Memang tak ada selera nak makan yang lain kecuali spaghetti...ala2 mat saleh pulak hihihi... seadanya yang mudah, ringkas dan sedap. Cepat je penyediaannya. Sekejap je dah siap.


Spaghetti Carbonara
Oleh : Surianti Ramli

Bahan2 :
Spaghetti (atau lain jenis pasta)
-didihkan air bersama secubit garam dan 2 sb minyak zaiton.
-masukkan spaghetti dalam air tadi dan rebus sampai lembut.
-toskan dan lalukan air biasa sekejap.

Sos Carbonara (Sos Putih)
-1 labu bawang besar didadu
-1 keping daging kisar (saya guna Ramly)
-1 tin sos Prego Carbonara Mushroom (tin biru)
-1/2 cawan susu segar
-1 sb serbuk lada hitam
-cendawan butang secukupnya (saya letak 7 biji)
-1 sb mentega untuk menumis
Garam secukup rasa
Sedikit air
Daun parsley kering

Cara masak sos carbonara :
1. Cairkan mentega, tumis bawang besar hingga layu.
2. Masukkan daging kisar bersama sedikit air. Rebus sekejap hingga empuk.
3. Masukkan sos carbonara, cendawan butang, susu segar dan garam. (Garam letak sikit saja kerana sos ini sendiri telah ada perisa garam) Masak dalam api perlahan hingga mendidih.
4. Masukkan serbuk lada hitam. Kacau sebati dan tutupkan api.
5. Sedia dihidang bersama spaghetti. Taburkan daun parsley kering di atasnya.
Siap.

Monday, February 23, 2015

Karipap rangup, tidak berminyak dan sudah pasti sedap untuk sarapan

Karipap memang salah satu makanan kegemaran ramai orang dari dulu lagi. Tapi kadang2 pernah terbeli karipap yang berminyak dan liat kulitnya. Apakata sesekali kita cuba buat sendiri, puas hati boleh letak inti yang banyak dan mengikut citarasa kita.  Jom kita buat karipap yang tidak berminyak, kekal rangup walaupun lama dan insyaAllah sedap rasanya.





Karipap Rangup
Oleh : Surianti Ramli
(Intinya terpulang mengikut citarasa)

Bahan A :
4 cawan tepung gandum
1/4 cawan tepung beras
1/4 cawan tepung ubi
2 sb mentega
1 sk garam
1 sk gula

Bahan lain :
1/4 cawan minyak masak
1 cawan + 2sb air -  gunakan air sejuk dari peti ais (tambahkan air jika perlu)

*semua bahan di atas disukat menggunakan cawan dan sudu metrik

Cara penyediaan :
1. Bahan A disatukan dan ramas hingga menjadi seperti serbuk roti. Buat lubang besar di tengahnya.
2. Panaskan 1/4 cawan minyak masak dan tuang di tengah bahagian bahan A tadi. Gaul rata dengan menggunakan sudu.
3. Masukkan air sejuk sedikit demi sedikit sambil menguli hingga tepung tidak melekat pada tangan.
4. Bulatkan doh sebesar bola ping pong. Canai dan letakkan inti (terpulang inti mengikut kesukaan anda), kelim seperti biasa. Adunan ini akan mendapat anggaran 34 - 35 biji karipap.
5. Goreng hingga masak.

Petua supaya kulit karipap tidak menggerutu :
-panaskan minyak untuk menggoreng.
-matikan api, masukkan karipap. Biar sekejap, hidupkan kembali api dan goreng seperti biasa dalam api sederhana. Balikkan dengan kerap.
Selamat mencuba.

Sunday, February 15, 2015

Moist Chocolate Cake mudah dan sedap utk anniversary

Kek ni Sue buat semalam 14 Februari sempena wedding anniversary. Alhamdulillah walaupun ringkas, tapi kek ni sedap sangat. Strawberry cicah sos coklat, ditambah dengan topping coklat dan cream cheese... sedap !



Moist Chocolate Cake
Oleh : Surianti Ramli

Bahan A :
2 biji telur gred A
1 cawan minyakjagung
1 cawan gula castor
1 cawan susu segar
1 cawan air suam
-satukan semua bahan A dan mix hingga sebati. (Anggaran 5 -7 minit) Kalau gunakan blender pun boleh juga.
Ketepikan.

Bahan B :
2 cawan tepung superfine (boleh juga guna tepung gandum)
1 cawan serbuk koko
1 sk baking powder
1 sk soda bikarbonat
-satukan bahan B dan ayak.

Cara penyediaan :
1. Bahan A + bahan B. Kacau guna whisk hingga sebati.
2. Griskan loyang dengan mentega, alas baking paper pada dasarnya dan gris lagi. Tuangkan adunan. Boleh dibakar atau pun dikukus.
-bakar 175'C selama 45 minit hingga masak @ kukus selama 45 minit. Jika kukus, pastikan air telah dipanaskan terlebih dulu dan tudung periuk kukus hendaklah dibalut tuala untuk mengelakkan air menitis.
Sejukkan kek.
Potong bahagian tengahnya menjadikan 2 layer.

Cara buat topping coklat :
1 cawan minyak jagung
3/4 cawan serbuk koko
3/4 cawan susu pekat
-mix hingga sebati.
-masukkan dalam piping bag.

Cara buat topping cream cheese :
1 cawan cream cheese (saya guna tatura)
1 cawan whipping cream Anchor
6 sb susu pekat
-mix hingga sebati.
-masukkan dalam piping bag.

Cara letak topping :
-paipkan topping ke atas lapisan kek yang pertama. Selang selikan topping coklat dan cream cheese.
-letakkan lapisan kek yang kedua. Ulang proses sama. Hiaskan strawberri dan lain-lain coklat kesukaan.

Info penting utk yang belum tahu mengenai cheese (yang dah tahu, sila abaikan) :
Guna cream cheese utk topping.
*jgn guna cheese mozarella, itu utk letak atas pizza/lasagna
*jgn guna cheddar cheese, itu utk parut atas snow cheese cake

Tuesday, February 10, 2015

Mee Goreng Mamak sedap...yummy !

Banyak versi sebenarnya resepi mee goreng mamak. Apa yang Sue kongsikan disini adalah berdasarkan kegemaran kami sekeluarga. Anda boleh ubahsuai mengikut citarasa sendiri. Resepi ini juga Sue telah share dalam fb, alhamdulillah...ramai yang suka. 


Mee Goreng Mamak
Oleh : Surianti Ramli

Bahan-bahan :
1 bungkus mee kuning
5 ulas bawang putih diketuk
1 senduk cili kisar
1 biji buah tomato didadu kecil
1 mangkuk daging lembu dihiris nipis
Sedikit kicap
2 biji ubi kentang (rebus empuk dan potong nipis)
Cucur udang dihiris secukupnya (jangan terlalu banyak)
Sedikit sotong kering
2 sb gula
1 sk garam
3 biji telur
2 biji tauhu digoreng terlebih dahulu dan dihiris nipis
Minyak untuk menumis
Sedikit air
Sayur sawi, kobis, taugeh

Cara penyediaan :
1. Panaskan minyak, tumis bawang putih hingga harum.
2. Masukkan cili kisar bersama daging dan sedikit air. Rebus hingga empuk.
3. Masukkan buah tomato, kicap dan sotong kering. (Tak perlu tambahkan sos tomato lagi kerana kita telah menggunakan buah tomato dan rasanya lebih sedap dengan penggunaan buah tomato). Masak hingga tomato mulai hancur.  Masukkan gula dan garam. 
3. Masukkan cucur udang, ubi kentang dan tauhu. Kacau sekejap dan masukkan mee serta sayur. Kacau rata.
4. Kuiskan mee ke bahagian tepi kuali hingga terbentuk ruang kosong pada bahagian tengah kuali. Pecahkan telur. Timbuskan kembali mee atas telur tadi. Bila telur mulai keras (hampir masak), kacau rata dengan cepat hingga telur merata pada mee. Tutupkan api. Sedia dihidang.

Catatan : sukatan resepi di atas adalah mengikut citarasa kami sekeluarga. Anda boleh kurangkan/lebihkan sukatan mengikut citarasa sendiri.

Sunday, February 8, 2015

Kek Hujan Panas yang sedap, resepi orang dulu-dulu

Wangi je satu rumah waktu membakar kek ni. Menggunakan campuran kelapa kering sebagai salah satu bahannya. Rasanya pun sedap. Salah satu kek nostalgia orang lama, kalau zaman emak2 kita dulu, pasti biasa dengan kek ni.




KEK HUJAN PANAS
Sumber 1 : Suhaini Abdul Wahab
Sumber 2 : Kak Emma
Dicuba oleh : Surianti Ramli

Bahan:
250gm Planta / butter (Sue guna butter Anchor)
1cwn gula halus
2cwn tpg kek (Sue gunakan tepung Superfine)
5biji telur B
6sb kelapa kering
3sb susu cair/ segar
1st baking powder
1st vanilla

Cara:
Bahagi 2 kelapa & warnakn merah & hijau
Pukul butter & gula- kembang
Masukkan telur 1 persatu
Masukkan tepung berselang seli dengan susu & vanilla
Masukkan kelapa yang telah di warnakan tadi berselang seli sambil kaup balik sahaja ( jgn di pukul lagi- cukup sekadar kaup balik)
Masukkan dalam loyang 7x7 yang telah digriskan dan dilapik baking paper
Bakar 170'C-45 minit (mengikut oven masing-masing)

Catatan :
-Sue masukkan kelapa kering dlm 2 plastik kecil & 1 di titiskan pewarna hijau, 1 lagi pewarna merah,  kemudian ramas sedikit plastik itu supaya warna sekata.
-Sue gunakan loyang 8in x 8in dan bakar 175'C selama 40 minit.


Friday, February 6, 2015

Ikan Keli Goreng Sambal



Ikan Keli Goreng Sambal
Oleh :Surianti Ramli

Bahan2 :
4 ekor ikan keli dibersihkan

Cara menghilangkan hanyir ikan keli :
-perahkan beberapa biji limau (Sue gunakan 3 biji limau kasturi) dan gaulkan pada ikan bersama garam kasar. Biarkan anggaran 15 - 20minit. Bilas dengan air bersih.

Petua mengelakkan ikan keli meletup sewaktu menggoreng :
Perisakan ikan dengan garam dan kunyit, lumurkan sedikit tepung jagung dan terus goreng seperti biasa. InsyaAllah ikan keli tidak akan meletup dan sedap isinya.

Bahan lain :
2 senduk cili kisar (boleh gantikan dengan beberapa biji lada merah yang ditumbuk)
5 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih (ditumbuk kasar)
Sedikit gula dan garam
2 keping asam gelugur
Sedikit minyak masak

Cara masak :
1. Panaskan minyak, tumis bawang hingga harum. Masukkan cili kisar dan asam keping, masak hingga cili betul2 masak.
2. Masukkan garam dan gula secukup rasa.
3. Bila cili mulai kering, tutupkan api dan curahkan ke atas ikan keli.

Selamat mencuba.
Resepi yang ringkas dan mudah.


Sayur Buncis Goreng Kunyit

Hari Jumaat, sekolah masuk jam 1230 tgh (sekolah cina), biasanya Sue masak yang mudah dan cepat sahaja (biasa pun macam tu, memang kejar masa). Cukuplah sayur buncis dan 1 lagi jenis lauk. Mujur anak2 dan hubby tak cerewet bab makan. Semuanya sedap, alhamdulillah...


Sayur Buncis Goreng Kunyit
Oleh : Surianti Ramli

Bahan2 :
1 ikat kacang buncis 
2 ulas bawang putih didadu kecil
1 labu bawang besar (potong ikut suka)
1 biji lada merah dipotong
2 keping dada ayam di dadu
Sedikit kunyit serbuk
Garam 
Sedikit air
Minyak masak

Cara penyediaan :
1. Dada ayam diperisa dengan garam dan kunyit. 
2. Panaskan sedikit minyak masak, goreng isi ayam tadi hingga masak (minyak jangan banyak seperti menggoreng cucur/goreng lauk). Kalau banyak, buangkan sedikit.
3. Masukkan bawang putih, bawang besar, lada merah, buncis dan sedikit air. Gaul rata. Biarkan sekejap hingga sayur masak. Tutupkan api. Sedia dihidang.

*kalau suka, boleh juga masukkan tempe yang telah digoreng terlebih dahulu.


Thursday, February 5, 2015

Nasi Goreng Sardin yang sedap, ringkas dan mudah

Jom kita breakfast nasi goreng sardin yang sedap ini. Mesti cuba, memang sedap insyaAllah walaupun bahannya simple sahaja.


Nasi Goreng Sardin
Oleh : Surianti Ramli

Bahan2 :
1 mangkuk besar nasi
1 labu bawang besar dimayang
1 senduk cili kisar (boleh juga gantikan dgn cili merah + cili api yang ditumbuk)
Sayur (saya gunakan kacang panjang & karot)
1 tin kecil sardin (buangkan tulangnya serta kuahnya  dan ambil isinya sahaja, dihancurkan)
2 biji telur
Sedikit kicap lemak manis
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara masak :
1. Panaskan minyak, tumis bawang besar hingga layu, masukkan cili kisar. Masak hingga pecah minyak.
2. Masukkan isi ikan sardin & sayur. Kacau rata sekejap. Tolakkan kedua bahan ini ke bahagian tepi kuali. Pecahkan telur pada bahagian tengah kuali.  Bila telur mulai masak, masukkan nasi, sedikit garam dan kicap.
3. Kacau rata dengan cepat hingga sebati semuanya.
Siap.

Sedap. Selamat mencuba.

Monday, February 2, 2015

Kek Coklat Tanpa Telur aka Super Moist Egless Chocolate Cake (SMECC)...fuh super sedap

Sebenarnya kek ni dah lama Sue buat...bulan Disember 2014. Tapi entah macamana rupanya tak upload dalam blog. Hanya letak dalam fb.. Namanya panjang, tapi sangatlah sedap rasanya. Wajib dicuba.
Sesuai untuk orang yang tak suka makan telur. Anak2 pun suka sangat. 
Terima kasih untuk Dayang Jack, tuan punya resepi asal  yang sudi berkongsi resepi ini. Sue hanya copy paste resepi dari blog Malina Lina Pg.


SUPER MOIST EGGLESS CHOCOLATE CAKE (SMECC)
By : DayangJack
Sumber : Malina Lina Pg
Dicuba oleh : Surianti Ramli

Bahan-bahan : loyang 6-7 inci (versi asal)

1 cawan tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
1/2 sudu kecil soda bikarbonat
1/2 cawan serbuk koko
2 sudu besar susu tepung
1  1/4 cawan air sejuk (dari peti ais)
1 cawan gula perang
1 sudu kecil esen vanilla
1/2 sudu kecil coffee emulco atau chocolate emulco
Secubit garam
1/2 cawan minyak masak sayuran atau minyak jagung atau mentega cair
1 sudu kecil cuka atau jus lemon

Cara-cara :

Panaskan oven pada suhu 160C. Sediakan loyang kek. Griskan dengan mentega. Jika ingin menggunakan paper cup pun boleh juga.
Ayakkan tepung bersama baking powder, soda bikarbonat dan serbuk koko di dalam bekas besar. Masukkan tepung susu, garam dan gula perang. Kemudian dikacau rata-rata.
Masukkan air sejuk, minyak masak, esen vanila dan coffee emulco/chocolate emulco. Kacau perlahan-lahan dengan whisk. Pastikan adunan tidak berketul.
Akhir sekali masukkan cuka atau jus lemon. Terus dikacau serta merta sehingga sebati.
Tuangkan adunan ke dalam loyang dan bakar selama 30-40 minit atau hingga masak (50min)
Sejukkan kek setelah masak. Boleh juga dihiaskan dengan topping kegemaran.

Sunday, February 1, 2015

Lasagna Versi Melayu aka Roti Lapis Daging

Roti Lapis Daging aka Lasagna versi Melayu idea asalnya dari Fb Sarimah Md Nor, Sue ubahsuai mengikut citarasa sendiri menggunakan loyang 8in x 8in & bahan yang sedia ada di dapur. Sedap tau resepi ni. Sue dah upload dalam fb, ramai yang share resepi ini dan telah mencuba. Alhamdulillah mendapat feedback yang baik, sedap katanya...




Roti Lapis Daging aka Lasagna versi Melayu
Sumber : Sarimah Md Nor
Dicuba dan ubahsuai oleh : Surianti Ramli

Bahan-bahan :
8 keping roti putih
2 biji telur
1 gelas susu segar

Bahan inti :
Semangkuk daging dipotong kecil
2 sb perencah daging blackpepper mix
Sayur2an (seperti carrot, mix vege, batang selery dll yang sesuai)
1 labu bawang besar dipotong dadu
Sedikit air
Sedikit minyak untuk menumis
Garam dan gula secukup rasa

Bahan lain :
4 keping keju (cheese slices)
Keju parut mozarella

Cara penyediaan :
1. Panaskan sedikit minyak. Masukkan daging serta air dan masak hingga daging empuk.
2. Masukkan perencah blackpepper mix bersama garam dan gula secukup rasa.
3. Masukkan bawang besar dan sayur2an. Kacau rata sekejap. Matikan api. Ketepikan.
4. Gris loyang dengan mentega.
5. Ambil susu segar, satukan dengan telur. Kacau sebati dengan garfu sahaja.
6. Celupkan roti dalam campuran susu + telur tadi. Susun pada dasar loyang. Lapiskan dan ratakan daging atas roti tersebut. Letak keju slices diatasnya. Akhir sekali lapisan atas, letakkan baki roti yang telah dicelup susu + telur. Tuangkan baki susu/telur ke atasnya jika masih ada. Taburkan mozarella cheese.
8. Bakar hingga masak.
(Saya bakar selama 30 minit pada suhu 175'C)

Selamat mencuba.
Sedap !
Wajib cuba.

CATATAN :
Perencah daging blackpepper mix yang digunakan boleh dibeli di pasaraya/kedai runcit.